Calon ganti Gamel, penyokong Pahang kongsi cerita kenapa lebih suka Sundramoorthy berbanding Fandi Ahmad


  • Podium
  • Sabtu, 16 Jul 2022

Pemain Lions XII menjulang Sundramoorthy selepas memenangi Liga Super pada 2013. — Agensi

PENGGANTI ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel masih menjadi tanda tanya sehingga kini.

Antara nama yang disebut-sebut sebagai adalah dua jurulatih dari Singapura iaitu Fandi Ahmad dan V.Sundramoorthy.

Kedua-duanya merupakan bekas pemain Pahang pada 1991 hingga 1992, selain turut mempunyai pengalaman melatih pasukan Liga Malaysia seperti Johor Darul Takzim (JDT) dan Negeri Sembilan.

Difahamkan, pengurusan Sri Pahang dikatakan sedang berbincang dengan Fandi Ahmad untuk mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih.

Namun, menerusi hantaran di laman Facebook, penyokong Sri Pahang, Pengkritik Krisis sebaliknya menegaskan, dia lebih memilih Sundramoorthy atas beberapa alasan.

Pengkritik Krisis berkata, ketika pasukan Singapura, Lions XII yang dilatih oleh Sundramoorthy menjuarai Liga Super pada 2013, mereka membuat persembahan sangat padu.

“Hanya Kelantan yang mampu memberi cabaran. Taktikal jurulatih ini sangat sesuai untuk Sri Pahang. Boleh lihat di YouTube bagaimana Lions XII bermain,” katanya.

Pada masa sama, Pengkritik Krisis mempersoalkan sama ada kehadiran seorang jurulatih mampu mengubah semua aspek dalam Sri Pahang.

Justeru, dia berharap agar pasukan tersebut dapat merombak keseluruhan barisan kejurulatihan terutama kejurulatihan kecergasan, bukan hanya melantik jurulatih baharu.

Katanya, taktikal mengikut kehendak Sundramoorthy memerlukan pemain yang mempunyai kelajuan tinggi serta keseimbangan badan yang baik.

“Sebaliknya, untuk bersaing di peringkat Asia, kemungkinan amat sukar untuk Sri Pahang.

“Banyak lagi perkara yang Sri Pahang perlu lakukan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram