GENAP 31 tahun pemergian Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari pada 11 Julai 1991, nama itu masih lagi muncul di bibir peminat bola sepak tanah air.
Masakan tidak, legenda bola sepak itu yang juga dikenali sebagai SuperMokh pernah mengharumkan nama negara menerusi pencapaiannya, yang setanding dengan pemain antarabangsa pada suatu ketika dahulu.
Antara kejayaan yang pernah dirangkulnya ketika bersama skuad utama Selangor, termasuk dinobatkan sebagai pemenang kejuaraan Piala Malaysia sebanyak 10 kali - gelaran terbanyak pernah dimenangi oleh seorang pemain dalam sejarah pertandingan tersebut.
Mokhtar (kanan) merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman bagi skuad Selangor dan Harimau Malaya. —Agensi
Bersama Harimau Malaya, Mokhtar Dahari menjulang Piala Pestabola Merdeka sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1973, 1973, 1976 dan juga pada tahun 1979.
Antara yang akan terus menjadi memori ialah tandukan terbang Mokhtar Dahari di hadapan lebih 55,000 penonton di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Malaysia menundukkan Jepun dengan jaringan 2-0 dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 1976 itu.
Selain itu, Mokhtar Dahari turut membantu Malaysia memenangi pingat emas acara sukan bola sepak sebanyak dua kali di Sukan SEA (1977 dan 1979) dan pingat gangsa Sukan Asia pada tahun 1974 di Tehran.
Aksi Mokhtar (tengah) dalam salah satu perlawanan yang disertainya. — Agensi
Pada 11 Mei 1975, dua gol SuperMokh menundukkan saingan Arsenal untuk memberi kemenangan 2-0 ke atas Malaysia.
Malah, SuperMokh sebelum ini juga pernah membantu skuad negara mengikat England B 1-1.
Bukan itu sahaja, Allahyarham juga pernah meledak 89 gol dalam 142 penampilan bersama skuad Harimau Malaya sehingga tahun 1991.
Tiada galang ganti
Dr Pekan Ramli berkata, beliau masih belum nampak kewujudan pemain di negara ini yang boleh mengikut jejak Allahyarham Mokhtar Dahari.
Penganalisis sukan itu berkata, ini termasuk kehebatan pemain tersebut dari segi kemahiran menjaringkan gol, kemahiran dan kekuatan, ketepatan rembatan serta kepantasan individu itu berlari.
"Saya belum nampak lagi pemain yang cukup pakej yang boleh kita anggap sehebat Mokhtar Dahari," katanya kepada Majoriti.
Pekan mengangggap kehebatan pemain di AMD tidak jauh beza denhgan pemain yang berada di luar akademi tersebut. — NST
Mengulas lanjut, Pekan menganggap bahawa, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang diambil sempena nama SuperMokh hanya membuahkan hasil tidak sampai 10 peratus, bagi melahirkan pemain-pemain hebat yang sepatutnya dihasilkan oleh sesebuah akademi.
Hal ini kerana, katanya, kehebatan pemain yang terdapat di akademi tersebut ketika ini tidak jauh beza dengan pemain-pemain yang berada di luar sana.
"Kecuali kalau orang bercakap mengenai Luqman (Hakim), tetapi Luqman pun tak pergi mana pun.
"Sebab, walaupun dia bermain di luar negara, kita nampak dekat sini bahawa sebagai talent (bakat) yang keluar dari sebuah akademi bola sepak kebangsaan, tetapi level (tahap) dia masih lagi belum sampai dan masih jauh lagi," jelasnya.
SuperMokh pemain lengkap
Irfan Bakti berkata, tiada pemain yang setanding dengan SuperMokh. — Astro Arena
Senada dengannya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, tiada pemain yang boleh menandingi Allahyarham Mokhtar Dahari tidak kira dari segi corak permainan mahupun dari segi disiplin.
Ketua Jurulatih Kuching City FC itu berkata, beliau yang pernah membuat penampilan bersama legenda itu di Vietnam dan Tehran menyifatkan bahawa, SuperMokh merupakan seorang pemain yang lengkap.
Tambahnya, AMD yang diwujudkan adalah bagus untuk melahirkan pemain yang serupa dengan Mokhtar Dahari.
Namun, katanya, Malaysia perlu mencari lebih lagi bakat hebat manakala pemain-pemain yang ada ketika ini perlu berusaha lebih.
"Sebab nak cari pemain 'born to be a player' sudah tak ada sekarang ni," katanya ringkas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram