Biasalah, kalau kuota lebih, pemain tempatan jadi korban — Shahrulnizam Mustapa


  • Podium
  • Selasa, 28 Jun 2022

BEKAS jurulatih pasukan Perak FC, Shahrulnizam Mustapa menyambut baik keputusan pasukan tersebut yang mengeluarkan empat pemain bagi memberi laluan kepada muka baharu.

Baginya, industri sukan bola sepak memerlukan pengorbanan bagi mewujudkan pembaharuan yang lebih baik untuk masa hadapan.

Kata beliau, perkara itu juga bukan satu hal yang mudah untuk dilakukan oleh jurulatih, Yusri Che Lah.

"Secara peribadi saya bersetuju dengan perkara itu dan percaya ianya sudah mendapat pertimbangan yang seadilnya dan bukan hal mudah untuk diputuskan.

"Corak permainan juga sudah menampilkan reaksi baharu dan insya-ALLAH perubahan ini akan memberikan kelebihan buat pasukan," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, beliau juga diminta mengulas persoalan mengenai mengeluarkan pemain tempatan bagi menggantikan pemain antarabangsa.

bola perak2

Tangkap layar senarai empat pemain yang dikeluarkan daripada Perak FC. — Twitter.

"Pada saya isu 'anak jati' tidak timbul. Kita semua sudah sedia maklum bahawa empat pemain itu sudah banyak berbakti dan menabur jasa kepada pasukan.

"Dalam bola sepak hanya 30 senarai pemain sahaja dibenarkan untuk mendaftar. Jadi apabila kuota sudah melebihi, tiada pilihan lain kecuali pemain tempatan dijadikan korban.

"Biarpun begitu, saya percaya bahawa pasukan akan terus menjaga kebajikan pemain sehingga kontrak mereka tamat. Sekiranya tiada peluang bermain di Perak, pemain boleh dipinjamkan ke pasukan lain," jelasnya.

Empat pemain tersebut terdiri daripada Nasrullah Abdul Aziz, Akmal Hazim Ismail, Nazmi Ahmad dan Ahmad Syazwan Syazany Ahmad Shafei.

Beliau turut menjelaskan dua daripada pemain iaitu Nazmi Ahmad dan Nasrullah kedua-duanya baharu selesai menjalani pembedahan dan masih memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

"Keadaan mereka (Nazmi pembedahan mata, Nasrullah pembedahan lutut) tidak mengizinkan untuk bermain manakala Ahmad Syazwan dan Akmal Hazim pula kedua-duanya masih muda dan berpeluang untuk bermain dalam Liga Presiden dan Sukma," tambah beliau.

Pengumuman mengenai empat pemain yang dikeluarkan itu diumumkan pada Ahad.

Kedudukan mereka itu digantikan dengan perpindahan tiga bintang antarabangsa iaitu Stipe Plazibat dari Croatia, Luciano Guayacochea (Argentina) dan Sunday Kolawole Afolabi (Nigeria). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram