'Ex-national coach' antara 4 calon berprofil tinggi jika Gamel tinggalkan Tok Gajah


  • Podium
  • Selasa, 05 Jul 2022

Pengendali berusia 50 tahun pasrah jika aksi pasukannya menentang TFC dalam saingan Liga Super pada Ahad adalah yang terakhir buat dirinya. — Facebook Sri Pahang FC

APAKAH nasib Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel selepas pasukannya tewas ketika bertemu Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Ahad?

Sebelum perlawanan itu berlangsung, pihak pengurusan ada menyatakan keputusan perlawanan Sri Pahang FC berdepan TFC, bakal menjadi penentu kedudukan buat pengendali berasal dari Perancis itu.

Ditakdirkan nasib malang menimpa pasukan Sri Pahang apabila mereka tewas 1-2 kepada Terengganu dalam aksi tersebut hasil jaringan penyerang import TFC Kpah Sherman menerusi rembatan seawal minit pertama dan penalti Muhammad Faisal Halim pada minit ke-80.

Pengendali berusia 50 tahun itu juga dilihat pasrah jika aksi pasukannya menentang TFC dalam saingan Liga Super pada Ahad adalah yang terakhir buat dirinya membimbing skuad Tok Gajah musim ini.

"Tekanan itu adalah perkara biasa buat mana-mana jurulatih. Tapi saya masih sayangkan pasukan ini, namun jika ketiadaan saya dalam pasukan adalah jalan terbaik difikirkan pihak pengurusan, saya sedia meninggalkan pasukan.

"Buat peminat setia pasukan ini, saya faham kekecewaan anda yang tidak sanggup melihat prestasi terkini pasukan, tapi percayalah pihak pengurusan kelab sedang berusaha memberikan yang terbaik, sebab tiada kelab mahukan pasukan mereka merosot," katanya selepas perlawanan menetang Terengganu.

Persoalannya sekarang siapakah bakal pengganti Gamel jika dia tidak lagi bersama pasukan Sri Pahang nanti?

Ini merupakan 4 calon jurulatih berprofil tinggi jika Gamel tinggalkan pasukan Tok Gajah:

Pahang coach Dollah Salleh in the training session with his players before their FA Cup final match against Selangor at the Bukit Jalil National Stadium yesterday. IZZRAFIQ ALIAS / The Star. July 6, 2018.

Rekod cemerlang Dollah bersama Pahang adalah menduduki tangga kedua carta Liga Super, menjuarai Piala FA dan Piala Malaysia. Agensi

1. Dollah Salleh

Ibarat mengulangi skrip tahun lepas, nama Dollah Salleh yang juga merupakan pengurus pasukan kembali disebut-sebut sebagai pengganti Gamel bagi menghadapi baki saingan seterusnya.

Walaupun ianya sekadar khabar angin, namun para peminat bola sepak tempatan sudah dapat meramalkan apakah yang akan terjadi pada pasukan Sri Pahang jika Gamel tidak lagi menggalas tugas sebagai ketua jurulatih.

Kelebihan yang ada pada bekas pengendali Sri Pahang ini bukan hanya setahun dua bersama pasukan, malah dia juga mengenali pemain yang dilihat berpotensi untuk dibawa masuk.

Selain itu juga, pasukan Sri Pahang kini memerlukan sentuhan magis jurulatih kelahiran Melaka ini untuk membimbing pasukan Tok Gajah supaya tidak terus hanyut jatuh ke saingan Liga Premier pada musim hadapan.

Rekod cemerlang Dollah bersama Pahang adalah pernah berada di tangga kedua carta Liga Super, menjuarai Piala FA dan Piala Malaysia.

KUALA LUMPUR 23/09/2018. Malaysia Under 16 coach, Lim Teong Kim during AFC U16 Championship at National Bukit Jalil Stadium.  MALAYMAIL/Azneal Ishak.

Pengalaman melatih pasukan muda Bayern Munich bawah 19 tahun pasti ditagih oleh pihak pengurusan Pahang. Agensi

2. Lim Teong Kim

Sebelum ini bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim (LTK) pernah berada dalam senarai calon ketua jurulatih Sri Pahang bagi menghadapi saingan musim ini.

Pengalaman yang sangat luas dimiliki oleh pengendali berusia 58 tahun itu pastinya ditagih oleh Sri Pahang dalam usaha membentuk sebuah pasukan yang mampu untuk mencabar pasukan-pasukan seperti JDT, Kedah dan lain-lain.

Ini bagi memadam kehampaan yang dihadapi oleh pasukan setelah mengharungi musim yang kurang memberangsangkan apabila sekadar berada di tangga ke-11 liga selain memastikan pemain-pemain kekal bersemangat.

Pengalaman melatih pasukan muda Bayern Munich bawah 19 tahun yang berjaya menghasilkan bintang terkemuka dunia seperti Thomas Mueller sudah pasti ditagih oleh pihak pengurusan Pahang yang mana pasukan Tok Gajah kini ramai dibarisi pemain muda.

LTK juga pernah mengendalikan skuad B-16 tahun negara yang rata-rata dibarisi oleh graduan dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam temasya AFC B-16 tahun yang dijalankan di Kuala Lumpur, Malaysia pada 2018.

Perak coach Mehmet Durakovic in action during their training session.- pic courtesy of Perak FA

Mehmet mungkin mengenali pemain-pemain tempatan dan mengenali budaya bola sepak negara kerana terlibat dalam Liga M. Agensi

3. Mehmet Duraković

Bekas pengendali pasukan Perak FC, Mehmet Duraković mungkin boleh menjadi calon untuk menggantikan Gamel jika pihak pengurusan mahu mencari pengganti baharu untuk mengendalikan skuad Tok Gajah.

Jurulatih kelahiran Australia ini pernah membawa pasukan Selangor merangkul Piala Malaysia 2015 sekali gus membantu pasukan Gergasi Merah Kuning itu merealisasikan impian untuk menjuarai piala tersebut buat kali yang ke-33.

Selain itu juga, dia sekali lagi pernah mengulangi kejayaan dengan membawa pasukan Perak muncul juara Piala Malaysia 2018, selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-1 menerusi penentuan penalti dalam aksi final tersebut.

Mehmet mungkin juga sudah mengenali pemain-pemain tempatan dan dia sangat mengenali budaya bola sepak negara kerana terlibat dalam Liga Malaysia (Liga M) dan melatih dua pasukan gergasi di negara ini.

TCH

Cheng Hoe semakin menyerlah ketika bersama Kedah dan mengakhiri saingan Liga Super di tangga ke-3 dan berjaya memastikan Kedah bergelar juara Piala Malaysia 2016. Agensi

4. Tan Cheng Hoe

Selepas hampir tiga bulan berehat daripada kancah bola sepak tempatan, bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bersedia membuat kemunculan semula dan ini merupakan peluang terbaik buat pasukan Sri Pahang melamarnya.

Cheng Hoe pernah mengambil alih pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ketika dalam keadaan merudum dan hanya mengambil tempoh yang singkat untuk mengembalikan status gergasi Utara KDA FC yang terkenal dengan corak permainan ‘tiki-taka’.

Musim pertama bersama Kedah, Cheng Hoe membawa pasukan itu menduduki tangga ke-4 liga. Musim berikutnya, hasil kerja jurulatih yang berusia 54 tahun mulai berbaloi.

Kedah menjuarai 100Plus Liga Premier pada musim berikutnya, sekaligus melayakkan diri ke pertandingan Liga Super 2016 dan melayakkan diri ke pentas akhir pertandingan Piala Malaysia pada musim yang sama sebelum dikecewakan oleh Selangor.

Musim 2016, Cheng Hoe semakin menyerlah bersama Kedah dan mengakhiri saingan Liga Super di tangga ke-3 dan berjaya memastikan Kedah bergelar juara Piala Malaysia 2016, adalah bukti dia merupakan salah seorang jurulatih yang wajar diberikan perhatian pihak pengurusan Sri Pahang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram