'Dia bukan pelawak, apa dibuatnya menyinggung perasaan', Harith Iskander bidas wanita buka baju, hina Islam


  • Massa
  • Ahad, 10 Jul 2022

Tangkap layar video tular memaparkan Amy sebelum (kiri) dan selepas (kanan) membuka auratnya dalam persembahan komedi.

TINDAKAN seorang wanita menanggalkan tudung dan baju kurungnya di atas pentas sebuah kelab komedi bukanlah 'stand-up comedy' dan sesuatu yang menyakitkan untuk ditonton, kata Harith Iskander.

Demikian kata pelawak negara itu bagi menggambarkan perbuatan wanita terbabit dalam video tular yang kini disiasat oleh pihak berkuasa agama kerana didakwa menghina Islam.

"Wanita itu bukan pelawak dan apa yang dia lakukan bukanlah 'stand-up comedy'," katanya dalam respons yang disiarkan di laman Facebook pada Sabtu.

"Ia menyakitkan untuk menonton dan yang lebih penting, tiada apa-apa yang lucu tentang apa yang dia katakan atau lakukan," kata Harith.

Harith Iskander during the Stand Together Kindness Concert event at Setia City Convention Centre, Setia Alam. IZZRAFIQ ALIAS / The Star. May 4, 2019.

Harith berkata, persembahan wanita tersebut menyakitkan untuk ditonton dan bukannya 'stand up comedy'.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya tidak menyamakan tindakan wanita itu dengan apa yang dilakukan oleh pelawak lain.

"Apa yang dia lakukan adalah secara sengaja memburuk-burukkan bentuk seni yang telah saya dedikasikan sepanjang hidup.

"Saya mula membuat 'stand-up comedy' pada 1990 dengan visi untuk menaikkan semangat rakyat Malaysia menerusi gelak ketawa.

"Niat dahulu sehingga kini sentiasa untuk membuat orang ketawa sambil menunjukkan keistimewaan setiap manusia," katanya sambil menambah bahawa rakyat Malaysia sentiasa berjaya membuat diri sendiri terhibur serta menghormati budaya masing-masing.

Pada Sabtu tular video di mana seorang wanita mengaku menghafal 15 juzuk al-Quran bagaimanapun telah bertindak menghina agama Islam di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.

Wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Siti Amira Natasha Abdullah dan berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu didakwa mempermainkan agama Islam semasa membuat persembahan komedi di kelab tersebut.

Siti Amira atau dikenali sebagai Amy membuat kejutan apabila dia yang tampil sopan mengenakan tudung dan baju kurung Kedah tiba-tiba menanggalkan pakaian di hadapan khalayak ramai.

Tindakannya menerima sorakan daripada penonton yang hadir menyaksikan persembahannya.

Pada masa sama, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut melakukan siasatan terhadap wanita terbabit.

Mengulas lanjut, Harith berkata, tidak semua 'stand-up comedy' kelakar buat semua orang kerana setiap individu mempunyai citarasa berbeza.

Katanya, ini menyebabkan sesetengah individu akan berasa tersinggung dengan jenaka tertentu.

Namun, beliau menilai perkara itu berdasarkan niat pelawak manakala tujuan 'stand-up comedy' adalah untuk membuat orang ramai ketawa.

"Tetapi, niat wanita itu adalah untuk memberi kejutan dan menyinggung perasaan. Oleh itu, dia tidak melakukan stand-up comedy," tambahnya.

Harith berkata, ternyata wanita itu memerlukan bantuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram