Aidil Sharin sedia resipi kebangkitan semula Kedah


  • Podium
  • Khamis, 07 Jul 2022

Antara babak perlawanan KDA FC menentang Bali United pada Piala AFC baru-baru ini. — Agensi

SELEPAS siri kejatuhan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam beberapa beberapa perlawanan domestik, ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak telah menyediakan 'resipi' kebangkitan bagi pasukan itu.

Penaung KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, dengan izin ALLAH SWT, semua urusan dipermudahkan melalui kedatangan tiga pemain baharu - Akmal Zahir, Sanrawat Dechmitr dan Mahmoud Al-Mardi - sebelum bermula perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2022 di Bali, Indonesia.

Dalam era kebangkitan semula itu, Mohd Daud memohon sokongan dan doa semua pihak khususnya penyokong Kedah yang sentiasa mengilhamkan dan menginspirasikan.

"Marilah kita bangkit semula dengan penuh kesungguhan, komitmen dan kreativiti," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Menerusi sebuah video, Mohd Daud berkata, kebangkitan itu juga merupakan satu peluang kepada pemain, jurulatih dan penyokong untuk bersama-sama memberi sokongan paling terbaik kepada KDA FC.

Pada masa sama, beliau menghargai usaha pasukan kejurulatihan yang telah menyebabkan Kedah bersedia untuk bertempur dalam siri perlawanan akan datang.

Selain itu, beliau juga berterima kasih kepada semua pemain kerana usaha yang bagus dan membuat penampilan yang baik ketika perlawanan sebelum ini.

"Kami sangat berbangga kepada anda dan mahu melihat persembahan yang baik pada masa akan datang.

"Buat para penyokong Kedah, marilah bersama-sama kita dengan pasukan keramat ini masa kita senang, masa kita susah, masa kita jatuh dan bangkit semula untuk memberi sokongan yang padu kepada semua bahawa pasukan kedah adalah pasukan yang disayangi, dihormati dan pasukan yang boleh membawa siri kemenangan selepas kemenangan dalam sebarang bentuk pertandingan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram