BERITA kekalahan 0-2 Perak FC ketika menentang PDRM FC pada Ahad sudah tentu mengecewakan penyokong The Bos Gaurus.
Dalam aksi Liga Premier di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, dekat ibu negara itu, kedua-dua pasukan beraksi seimbang dengan separuh masa pertama berakhir tanpa sebarang jaringan.
Bersambung babak kedua, perlawanan mula rancak dengan anak-anak buah Yusri Che Lah lebih banyak mengasak gawang PDRM FC namun, gagal menggegarkan jaring.
Tampil meredakan keadaan, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, Lembaga Perak FC masih memberi sokongan penuh dan kepercayaan kepada Yusri dalam pengurusan skuadnya.
Pemilik Perak FC itu berkata, pihaknya yakin bahawa Yusri akan melakukan yang terbaik dalam membentuk pasukan yang bar serta menghasilkan pemain kompetitif.
"Mereka pasti akan mengekalkan gaya permainan yang pantas dan menarik seperti skuad The Bos Gaurus yang lama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Memahami kekecewaan peminat atas kekalahan itu, Abdul Azim berkata, pihaknya juga akan terus berusaha memastikan Perak FC menjadi pasukan bola sepak yang boleh dibanggakan oleh peminat setia bola sepak Perak.
"Sekali lagi, kami mengucapkan terima kasih atas sokongan anda yang tidak berbelah bahagi dan kita akan berjumpa pada 16 Julai.
"Kami berharap kehadiran anda akan menjadikan stadium tercinta kita sebagai kubu kuat Perak FC," ujarnya.
Pada 16 Julai ini, Perak FC akan bertemu dengan pasukan TFC II di Stadium Perak dekat Ipoh, Perak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram