PEMILIK kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) pada Isnin mendedahkan mengapa kelab itu mengikat dua pemain naturalisasi iaitu Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi sedangkan tidak menggunakan khidmat mereka sepenuhnya selama ini.
TMJ yang juga Pemangku Raja Johor menjelaskan, tindakan itu dilakukan bagi mengelak pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) tidak memiliki lebihan pemain import.
“Saya rekrut mereka kerana takut ada kelab lain mempunyai extra pemain import, kemudian saya suruh dia duduk diam-diam,” jelas TMJ dalam sidang media bersama penyokong di JDT Facebook.
Beliau juga menganggap langkah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merekrut dua tonggak naturalisasi iaitu De Paula dan Liridon sebagai satu kesilapan.
Jelas TMJ, beliau melihat perancangan jangka pendek badan induk itu dengan membuka peluang buat pemain naturalisasi bagi menyarung jersi skuad Harimau Malaya adalah langkah baik namun pemilihan pemain dilihat kurang tepat.
De Paula menyertai pasukan JDT selepas menamatkan kontrak bersama pasukan Perak FC pada musim 2021. — Facebook
Mengulas perkara itu, penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli berkata, situasi TMJ dalam merekrut pemain naturalisasi negara disifatkan sebagai orang kaya membeli barang-barangan antik.
"Bagi pendapat saya situasi TMJ ini ibarat orang banyak duit yang mahu memiliki barang antik, walaupun kita tahu benda itu tiada kegunaan untuk diri kita tapi masih ada nilai tersendiri.
"Kebiasaannya, orang yang suka barang antik ini dia nak benda itu, sebab itu dia sanggup mengeluarkan duit yang banyak supaya orang lain tidak dapat memiliki barang tersebut.
"Sama juga dengan TMJ, mungkin kita tahu Liridon dan De Paula untuk pasukan JDT tidak begitu banyak memberi sumbangan atas padang, mungkin hal-hal luar padang mereka ada memberi keuntungan buat JDT," katanya pada Majoriti.
Tambahnya lagi, dunia bola sepak ialah satu bentuk perniagaan, jadi pasukan-pasukan yang bertanding akan melakukan sebaik mungkin untuk membentuk pasukan terkuat bagi bersaing di dalam Liga M.
"Bola sepak di zaman moden ini merupakan satu perniagaan, setiap pasukan yang bertanding walaupun di luar negara sekalipun pasti mempunyai objektif untuk memperkuatkan pasukan masing-masing.
"Pelaburan dalam bola sepak ini bukan hanya melibatkan ribuan ringgit malah boleh mencecah jutaan ringgit, jadi sebagai seorang yang sudah melabur dalam sesebuah pasukan kita mesti nak pulangan yang besar," ujarnya.
JDT bakal berdepan Urawa Red Diamonds di pusingan 16 terbaik ACL pada Ogos di Jepun. — Facebook
Menurutnya lagi, jika perkara ini terus berlaku di dalam senario bola sepak negara, perkara ini akan membuat satu pasukan itu lebih kuat dan terus dominan dengan kemasukan pemain yang lebih berkualiti.
"Perkara ini akan menjadi kelebihan buat JDT, kerana kita tahu apabila mempunyai pemain yang bagus di dalam pasukan, kualiti latihan akan terus meningkat dan persaingan sihat akan berlaku di dalam kelab.
"Cara JDT ini hanyalah untuk menguatkan pasukan, tetapi perkara ini tidak akan berlaku jika pemain bukan dengan kehendak pemain sendiri yang mahu menyertai pasukan JDT.
"Mungkin kesan adalah kelab lain akan sukar untuk bersaing dengan pasukan JDT selepas ini, tetapi pihak pengurusan harus memandang ini sebagai satu cabaran baharu untuk memperkuatkan pasukan masing-masing," jelasnya.
Pada Ogos, JDT bakal berdepan wakil J1 League, Urawa Red Diamonds atau lebih dikenali sebagai Red Devils di pusingan 16 terbaik dan ia bakal berlangsung tanpa aksi timbal balik ataupun format kalah mati di Jepun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram