SATU permulaan yang baik buat Perak FC selepas berjaya membenam Kelantan United FC (KUFC) 1-0 dalam aksi Liga Premier pada Sabtu.
Dengan kemasukan pemain import baharu yang beraksi cemerlang serta beberapa pemain berpengalaman berjaya mengubah corak pasukan The Bos Gaurus.
Kemenangan tipis itu juga sudah cukup buat Perak FC melunaskan 'hutang' mata selepas didenda potongan sembilan mata pada awal musim kerana isu tunggakan gaji.
Meskipun demikian, rata-rata penyokong Perak FC mahu melihat corak permainan yang lebih mantap daripada pemain kerana merasakan ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki dalam perlawanan akan datang.
Berikut adalah tiga poin yang menjadi buah mulut penyokong Perak terhadap persembahan yang ditunjukkan pasukan kendalian Yusri Che Lah dalam perlawanan tersebut.
Keserasian dan persefahaman dalam kalangan pemain Perak FC perlu ditingkatkan supaya dapat melahirkan barisan pemain mantap. — Facebook
1) Persefahaman pemain
Meskipun dibarisi beberapa muka baharu, penyokong merasakan mereka dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan dan mempamerkan aksi cemerlang walapun baru bersama.
Keserasian dan persefahaman perlu ditingkatkan supaya dapat melahirkan barisan pemain yang mantap.
Untuk perlawanan seterusnya, penyokong berharap para pemain dapat membina semula persefahaman sesama rakan sepasukan di atas padang. Ini kerana mereka berpendapat ada kelemahan dari segi penguasaan bola.
"Kena baiki banyak perkara. Terlalu banyak buat mistake. First touch pun ke laut. Kerap hilang bola dan passing banyak ke laut.
"Bagaimanapun, taktikal keseluruhan sangat baik. Kalau perbaiki masalah ini, lagi bertambah baik," kata Kamil Jamaluddin.
"Alhamdulillah...game okay cuma kena perbaiki lagi passing, tersangkut saja. Persefahaman pun kena perbaiki. Semoga Perak FC teruskan kemenangan pada perlawanan seterusnya," ujar Faiz Abdul Malik.
Peminat merasakan banyak peluang depan pintu gol disia-siakan ketika menentang KUFC. — Facebook
2) Tajamkan serangan
Selain persefahaman antara pemain, penyokong merasakan corak permainan perlu diperkemaskan terutama di bahagian serangan.
Berdasarkan perlawanan menentang Kijang Hijau, peminat merasakan banyak peluang depan pintu gol disia-siakan oleh brisan serangan Perak FC.
"Harap lepas ni kena mantapkan penyudah depan gol...peluang banyak dalam game malam tadi (Sabtu), satu (gol) je yang lekat. Apapun permulaan yang baik untuk team Perak FC. Misi kumpul mata sekarang ni," kata Shaiful Hisham Harun.
"Serangan bertali arus tapi score satu. Harap striker lebih tajam match depan," tambah Rosli Hashim.
Tiga import baharu skuad The Bos Gaurus. — Facebook
3) Belum nampak taring Plazibat
Perak FC mencetak gol hasil jaringan pemain import kelahiran Argentina, Luciano Guaycoachea. Selain Luciano, Sunday Kolawale turut mempamerkan aksi cemerlang yang menggembirakan peminat.
Untuk permulaan, mereka merasakan pemain import tersebut berbaloi kerana berjaya mematahkan serangan lawan, namun import dari Croatia, Stipe Plazibat masih belum menunjukkan taring sebenar ketika menentang KUFC.
"First debut Luciano tak perlu tunggu lama untuk gol hasil usaha berpasukan, akhirnya dia berjaya menyudahkan gol," kata Yazrul Amar.
Muhammad Izzat Ilham berpendapat, Luciano yang bermain di posisi tengah menyerang perlu memantapkan lagi passing supaya dapat memperbaiki kelemahan di bahagian tersebut.
"Sunday tenang, Luciano kena mantapkan lagi passing. Plazibat belum nampak taring dia. Apapun tahniah Perak, kekalkan momentum kemenangan," kata Muhammad Izzat Ilham.
"Import terbaik...labi (Sunday) rajin, Luciano banyak idea iras-iras Sergio Aguero (bekas pemain Argentina), Plazibat tak nampak lagi sebab kurang dapat bola. Apapun permulaan yang baik," tambah Mohd Faiz.
Perak FC dijadual bertemu skuad PDRM pada aksi saingan Liga Premier, pada 3 Julai depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram