KEMENANGAN besar pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) apabila membelasah Visakha FC 5-1 pada aksi terakhir saingan kumpulan G Piala AFC begitupun dihiasi dengan kegagalan penyerang import, Ronald Ngah Wanja menyempurnakan sepakan penalti.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Kapten I Wayan, Dipta, Bali, Indonesia pada Khamis, Ronald Ngah dijatuhkan oleh penjaga gol lawan, Keo Soksela pada minit ke-10 selepas berjaya melepasi benteng pertahanan lawan hasil lorongan bola daripada Syazwan Zainon.
Selepas dijatuhkan, pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan Kedah, cuma malangnya ia gagal disempurnakan oleh Ronald Ngah apabila dia menyepak bola dengan kuat sehingga melepasi palang gol.
Seluruh Kedah masih dibuai rasa gembira apabila kelab itu mara sebagai semifinalis Piala AFC 2022. — Agensi
Bagaimanapun, pasukan Kedah berjaya memenangi perlawanan tersebut menerusi jaringan hatrik Mahmoud Al-Mardi pada minit ke-28 dan minit ke-45 sebelum Sang Kenari terus 'mengganas' apabila dia berjaya menyempurnakan hantaran Fayadh Zulkilfi sekali gus melengkapkan hatriknya pada minit ke-54.
Fayadh yang sebelum ini bertindak sebagai 'arkitek' gol ketiga menyumbang gol keempat KDA FC pada minit ke-66 dan 'kenduri gol' diteruskan dengan jaringan kelima oleh Ronald Ngah Wanja pada minit ke-76.
Rata-rata penyokong skuad Hijau Kuning gembira dengan kemenangan yang melayakkan mereka ke pusingan separuh akhir Zon Asia Tenggara tetapi ada juga kecewa dengan Ronald Ngah kerana gagal menyempurnakan penalti.
Ini merupakan tiga pemain yang boleh menggantikan Ronald Ngah mengambil sepakan penalti pada masa depan:
Al-Mardi baharu sahaja menyertai pasukan Kedah pada jendela perpindahan kedua. — Facebook
1. Mahmoud Al-Mardi
Pemain tengah, Mahmoud Al-Mardi mengetuai amukan pasukan Kedah untuk menewaskan pendahulu Kumpulan G, Visakha FC 5-1 untuk mara ke separuh akhir zon Asean.
Kehadiran Al-Mardi ternyata memberikan lebih kreativiti di bahagian tengah dan ia sekali gus dapat membantu mencipta banyak ruang dan peluang buat pasukan Kedah menjaringkan gol.
Dengan jaringan hatrik pada perlawanan bertemu Visakha tempoh hari membuktikan kredibiliti pemain tengah kebangsaan Jordan ini dalam menjaringkan gol.
Pada perlawanan itu juga dapat dilihat ketenangan Al-Mardi meletakkan KDA FC di depan hasil sepakan percuma menarik di penghujung babak pertama yang mana kita tahu pengambil sepakan penalti memerlukan ketenangan yang baik.
Al-Mardi baharu sahaja menyertai pasukan Kedah pada jendela perpindahan kedua bagi menghadapi saingan Piala AFC dan baki saingan Liga Super pada musim ini.
Syazwan sering menjadi pengambil sepakan penalti buat pasukan Merah Kuning jika ketiadaan Ifedayo. — Facebook
2. Syazwan Zainon
Pemain sayap pasukan Kedah, Mohd. Syazwan Zainon mengambil peranan sebagai ketua pasukan yang baharu selepas lilitan kapten ditinggalkan Baddrol Bakhtiar yang berhijrah ke Sabah FC, musim ini.
Syazwan boleh bermain di kedua-dua sektor sayap dengan berkesan yang mana menjadikan pemain ini penting buat pasukan Kedah dalam sistem pertukaran pemain sayap yang aktif.
Pemain berusia 32 tahun itu memiliki teknik penyudah yang lebih klinikal serta kreativiti lebih tinggi, dia ada segala pakej untuk menjadi pemain penyerang sayap yang lengkap.
Bersama pasukan Selangor pada musim 2019-2020, Syazwan sering menjadi pengambil sepakan penalti buat pasukan Merah Kuning jika ketiadaan Ifedayo Olusegun di dalam pasukan.
Mungkin Syazwan boleh menjadi 'penalty taker' baharu buat pasukan Kedah jika Ronald Ngah masih melakukan kesilapan yang sama.
Sanrawat mempunyai sifat ketenangan dalam mengawal bahagian tengah serta mampu memberikan ancaman terbesar buat pasukan lawan. — Facebook
3. Sanrawat Dechmitr
Pemain import baharu pasukan Kedah, Sanrawat Dechmitr yang pernah menimbulkan kontroversi apabila menumbuk pengadil dalam saingan Liga Thai sehingga digantung 8 perlawanan juga mampu menjadi pengambil sepakan penalti buat pasukan itu.
Ini kerana Sanrawat mempunyai sifat ketenangan dalam mengawal bahagian tengah serta mampu memberikan ancaman terbesar buat pasukan lawan kerana hantaran killer pass yang ada padanya.
Pemain yang berusia 32 tahun ini mempunyai 29 kaps bersama skuad kebangsaan Thailand dan pernah beraksi menentang Malaysia ketika saingan Piala AFF Suzuki.
Sanrawat menyertai pasukan itu secara pinjaman dari Bangkok United FC untuk menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini. Sebelum ini, pemain yang dikenali sebagai Camp ini dipinjamkan ke Ratchaburi Mitr Pol.
Sifat ketenangan yang ada pada Sanrawat mungkin boleh dipertimbangkan oleh Aidil Shahrin untuk mengambil sepakan penalti seterusnya selain Ronald Ngah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram