SEPERTI penyokong bola sepak domestik sedia maklum, buat masa ini, duo penyerang Harimau Muda, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Luqman Hakim Shamsudin adalah antara dua pemain tempatan yang beraksi bersama kelab di luar negara.
Luqman Hakim kini beraksi bersama kelab Belgium, KV Kortrijk manakala Hadi Fayyadh bersama kelab Jepun, Azul Claro.
Namun, seorang warganet, Ahmad Ridzuan AG sempat membentangkan statistik yang cukup menyedihkan bagi Hadi Fayyadh.
Ciapan yang dimuat naik seorang warganet berkaitan minit permainan Hadi Fayyadh.
Menurutnya, Hadi Fayyadh sudah berada selama empat musim dalam Liga Jepun divisyen 3 (J3) bersama Fagiano Okayama dan Azul Claro.
Namun sepanjang tempoh tersebut, Hadi Fayyadh hanya beraksi dalam satu perlawanan dalam J3 selama 6 minit.
Bagi legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir, dengan minit permainan yang begitu sedikit, adalah lebih baik jika pemain itu pulang sahaja dan bermain dalam kelab tempatan.
"Dia merupakan pemain untuk skuad Harimau Muda dan kita tak nampak impak yang baik pun untuk dia beraksi di sana berdasarkan kepada prestasinya.
"Bagi saya lebih baik dia mencari peluang untuk bermain dengan kelab lain di luar negara atau pulang sahaja dan bermain dengan kelab liga tempatan," katanya kepada Majoriti.
Hadi Fayadh ketika beraksi bersama kelab Azul Claro di Jepun. — Agensi
Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar pula berkata, jika benar itu adalah minit permainan yang dimiliki Hadi Fayyadh, maka jumlah itu teramatlah sedikit.
"Tak kisah pun dia nak main di mana-mana liga asalkan yang penting dia dapat minit permainan yang cukup.
"Dengan jumlah minit permainan yang dimiliki sekarang, memang tidak mencukupi. Dia perlu dapatkan kelab lain untuk menjamin minit permainan," katanya.
Untuk rekod, Hadi Fayyadh pada tahun lalu direhatkan selama setahun ekoran kecederaan pada lutut (ACL) dan beraksi semula pada tahun ini.
Bagaimanapun, aksinya bersama skuad muda negara dalam Piala Asia B-23 2022 baru-baru ini mendapat kritikan negatif daripada penyokong yang jelas tidak berpuas hati dengan mutu aksinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram