Suka memancing tengah laut, Khuzaimi Piee dedah sebab tidak lagi berambut afro


  • Podium
  • Sabtu, 02 Jul 2022

Khuzaimi (tengah) semakin mencipta nama sebagai tonggak pertahanan digeruni lawan dan kawan. — Bernama

MESKIPUN meminati beberapa pemain ternama dari dalam dan luar negara termasuk Shukor Adan dan Aidil Zafuan Abd Razak, Ahmad Khuzaimi Piee tetap menjadikan bapanya sebagai idola nombor satu di hatinya.

Tonggak pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang mesra dengan panggilan Jimmy itu berkata, bapanya merupakan seorang pemain yang mempunyai keazaman tinggi ketika bermain bola sepak.

"Walaupun ayah tak sampai ke tahap lebih tinggi, tapi bila dengar cerita pakcik-pakcik, seriuslah ayah saya macam tu (hebat).

"Ayah merupakan penjaga gol. Semasa bermain, bila ada player datang, dia akan pusingkan badan dia," katanya ketika ditemubual dalam program '5 minit bersama...' MFL di YouTube.

Untuk pengetahuan semua, selain bermain bola, pemain berusia 29 tahun itu juga gemar memancing dan menjadikannya aktiviti itu sebagai hobi.

Beliau berkata, adakalanya beliau turun ke laut bersama adik-beradik dan rakan-rakannya yang berkongsi minat sama.

Katanya, ikan yang pernah ditangkap paling besar setakat ini adalah ikan jenahak seberat 5 kilogram dan ikan haruan tasik seberat 21 kilogram.

"Isteri saya pun okay dengan hobi saya.

"Tapi kalau nak ikutkan masa saya di rumah lebih banyak berbanding jalan-jalan (di luar)," katanya yang berasal dari Krubong, Melaka.

Pada masa sama, beliau yang sebelum ini terkenal dengan fesyen rambut afro tidak lagi mengekalkan imej tersebut kerana sudah berkeluarga.

Beliau berkata, selepas memasuki alam perkahwinan, beliau sekali gus memasuki fasa dan tahap yang lain.

"Saya rasa rambut tu bila-bila boleh tumbuh. Waktu tu (selepas berkahwin) saya mula dengan imej lain. Tapi ada juga orang yang masih ingat imej saya.

"Saya akan ambil perkara itu sebagai satu tanggungjawab yang bagus untuk maintain (kekal) dalam karier," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram