KENYATAAN pemilik The Red Warriors (TRW) Kelantan FC yang menawarkan diri untuk menyelesaikan isu membabitkan Stadium Shah Alam, di Shah Alam, Selangor, selepas gelanggang itu didakwa bakal dirobohkan mengundang respons tidak senang oleh segelintir pihak.
Sebelum ini, Norizam Tukiman berkata, gelanggang berkenaan tidak perlu dirobohkan, sebaliknya pihak berkaitan boleh memajak kemudahan itu kepada TRW Kelantan FC.
"Dari roboh stadium tu, baiklah pajakkan ke TRW Kelantan FC. Insya-ALLAH saya bersedia #Zamburger," katanya.
Meskipun ada yang bersetuju dengan kenyataan bahawa stadium itu sepatutnya diuruskan oleh pihak yang berminat, ia juga mengundang kecaman daripada penganalisis sukan.
Bukan menidakkan hasrat Norizam untuk memajak stadium itu, sebaliknya, Dr Pekan Ramli berasa agak terkilan apabila stadium yang mempunyai nostalgia itu tidak diuruskan kerajaan Selangor.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang memalukan kerajaan negeri, disebabkan Selangor merupakan antara kerajaan yang mempunyai sumber pendapatan paling besar di Malaysia.
"Malulah kerajaan Selangor ada stadium bernilai beratus-ratus juta (ringgit) masa dibina. Sekarang bumbung bocor pun mereka tak boleh nak tukar.
"Kenapa nak bagi (stadium) dekat Kelantan sedangkan Selangor lebih banyak duit?
"Kalau tak mampu sangat bolehlah beri kepada Kelantan FC. Tapi kalau Kelantan FC mengambil atau memajak stadium tu disebabkan Selangor tak mampu repair (baiki) bumbung ni satu perkara memalukan kepada Selangor," katanya kepada Majoriti.
Pekan menyarankan supaya pelantikan konsultan harus dibuat, sekiranya pihak berwajib tidak tahu cara untuk menguruskan sesebuah stadium. — Facebook
Mengulas lanjut, Pekan berkata, kebanyakan pasukan bola sepak di negara ini tidak mempunyai stadium yang dimiliki sendiri.
Justeru, mereka terpaksa menumpang dan menyewa di stadium lain, walaupun berdepan dengan perlawanan besar seperti Liga Super.
Tambahan pula, katanya, terdapat banyak kisah mengenai kegagalan sesuatu pengurusan untuk menguruskan stadium.
"Sebagai contoh, Stadium Nasional Bukit Jalil. Itu pun kita tak boleh nak urus dari segi penjagaan rumput dan baik pulih.
"Buat pandai sampai harga beratus-ratus juta, tapi nak maintain (kekalkan) tak pandai. Bila nak keluarkan peruntukan untuk repair tak ada duit," katanya kesal.
Jelasnya, terdapat beberapa pihak yang boleh bertanggungjawab untuk menguruskan stadium, termasuk perbadanan dan pihak berkuasa tempatan.
Katanya, sekiranya pihak berwajib tidak pandai menguruskan sesebuah stadium, mereka disarankan untuk melantik konsultan atau penasihat.
"Jangan sampai kita tak ambil tahu dan tak ambil kisah stadium yang kita bina beratus-ratus juta ringgit. Akhirnya, kerosakan sikit jadi besar. Lubang kecil jadi besar.
"Ini kerana kita tak urus dengan betul dan kita lihat sukan tidak begitu penting padahal sebaliknya. Pada masa sama, kita tak boleh sedia peruntukan konsisten dari segi penambaikan atau kerosakan yang perlu kita baiki," tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram