BARU memulakan tugas secara rasmi pada 17 Februari lalu, ketua jurulatih baharu bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon nampaknya sudah mula sibuk.
Sebelum ini, Pan-gon mengadakan lawatan pertama ke Stadium Sultan Ibrahim bagi meninjau fasiliti stadium berkenaan.
Malahan, Pan-gon turut hadir menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih pada Sabtu lalu menemukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL City), bagi memantau aksi para pemain untuk dinilai menjelang Kelayakan Piala Asia.
Pada Isnin, Pan-gon meneruskan lawatannya ke pusat latihan Selangor FC di Shah Alam, Selangor.
Menjengah ke ruangan komen di media sosial, ada warganet secara berseloroh tidak mahu Pan-gon melawat fasiliti pasukan Sri Pahang FC.
"Harap Pan-gon jangan melawat ke Sri Pahang. Sri Pahang punya fasiliti alam ghaib.
"Tak nampak mata kasar kat mana tempat ya," kata seorang pengguna Facebook, Sham Along.
Sebelum ini, bekas pengendali Sri Pahang, Thomas Dooley mendedahkan pasukan itu tidak mempunyai kemudahan dan fasiliti yang mencukupi sehingga beliau melabel apa yang dilihatnya itu menyamai situasi kelab divisyen lapan di Jerman.
Pasukan Sri Pahang sejak beberapa musim lalu menjalani latihan di padang awam yang dikongsi oleh penduduk setempat.
Dalam satu temu bual dengan portal sukan tempatan, Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang ada menjelaskan tentang perancangan kelab itu untuk membangunkan sebuah pusat latihan baharu.
"(Memang) Dalam perancangan kita pun, kita ada terbabit dengan Data Sukan, sebuah anak syarikat bawah Institut Sukan Negara yang bersama kita, dan telah merancang perkara ini.
"Dan kita pun ada hubungan baik dengan kerajaan negeri, khususnya dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak yang membantu kita mendapatkan sebidang tanah untuk kita bina pusat latihan tersebut dengan kerjasama dengan Data Sukan sebagai pelabur untuk membina fasiliti sukan itu.
"InsyaAllah ada masa sedikit lagi, kita akan dapatkan kelulusan daripada pihak kerajaan negeri, dan kalaulah itu dapat direalisasikan, maknanya kita akan hidangkan antara pusat latihan yang tercanggih selain daripada pasukan lain," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram