PENGUMUMAN terperinci mengenai pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), yang turut merangkumi Stadium Melawati di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor akan dibuat bulan hadapan, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan negeri, mengenal pasti tindakan yang bersesuaian untuk pembangunan kompleks tersebut, yang akan turut diselaraskan seiring dengan pembinaan Aliran Transit Ringan (LRT) 3 yang melalui kawasan berkenaan.
"Jawatankuasa itu telah menilai semua cadangan sama ada (melibatkan) proses pembaikan, naik taraf, buat baharu dan semuanya,” katanya pada pemberita selepas pelancaran Siri Kedua Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Banting, Selangor pada Sabtu.
"Saya tidak mahu memberitahu awal, namun begitu keputusannya berhubung status KSSA sudah ada dan memerlukan untuk melihat keseluruhan bangunan kompleks itu, kerana melibatkan ratusan juta ringgit.
"Insya-Allah, merupakan kerjasama awam-swasta. Ia bukan sepenuhnya dibiaya oleh kerajaan. Kalau kita ambil keputusan untuk baiki sahaja, tahun lepas lagi kita sudah mulakan,” katanya.
Stadium Malawati, Shah Alam — Agensi
Sementara itu, mengulas berhubung insiden banjir di Selangor pada Jumaat, pegawai daerah di Selangor diingatkan untuk bersiap sedia dalam menghadapi bencana itu, khususnya pada Oktober dan November depan.
Amirudin juga meminta agar projek-projek tebatan banjir dilaksanakan pada kadar segera sebelum tempoh berkenaan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram