Tak dapat satu sen pun dari kerajaan negeri, bayar gaji pemain Selangor guna wang bantuan TMJ — Subahan Kamal


  • Podium
  • Rabu, 23 Mac 2022

BEKAS Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal. — The Star

BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan, bantuan kewangan yang diberikan pemilik pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada tahun 2017-2018 digunakan bagi menyelesaikan masalah gaji pasukan Selangor.

Subahan berkata, bantuan itu diberikan Tunku Ismail selepas pihaknya mengalami kesukaran untuk mencari dana daripada pihak swasta dan bantuan daripada kerajaan negeri.

"Ketika saya memegang jawatan sebagai Presiden FAS pada tahun 2017-2018, saya tidak mendapat satu sen pun daripada kerajaan negeri, dan saya terpaksa mencari dana sendiri.

"Ketika itu, memang kami susah untuk mencari dana sendiri dan Alhamdulillah, Tunku Ismail bersetuju untuk membantu,” katanya selepas sidang Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memperkenalkan Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd sebagai penaja rasmi di bilik pameran jualan Peugeot Glenmarie di Shah Alam, Selangor pada Rabu.

Dalam pada itu, Subahan yang kini Presiden Petaling Jaya City FC, menyifatkan minat yang mendalam Tunku Ismail terhadap pembangunan bola sepak negara adalah ‘satu dalam sejuta’.

"Tindakan Tunku Ismail memberikan idea dan bantuan untuk menukarkan rumput baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil juga adalah bukti bahawa beliau sangat mengambil berat terhadap kemajuan bola sepak negara.

"Tidak semua orang boleh melakukan apa yang Tunku Ismail boleh buat dan saya yakin dengan penyediaan (padang Stadium Nasional) yang terbaru ini, dapat memajukan sukan yang digemari rakyat Malaysia ini,” katanya.

Pada Selasa, Subahan mengesahkan bahawa Tunku Ismail pernah menghulurkan bantuan kewangan kepada bekas pasukannya itu.

Beliau memberi maklum balas berhubung ciapan Twitter Tunku Ismail 21 Mac lalu mengenai bantuan kewangan kepada lima pasukan Liga Malaysia (Liga-M) termasuk Selangor. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram