LANGKAH memanggil dua tonggak naturalisasi yang kurang memberangsangkan, seperti yang dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapat kritikan pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tunku Ismail menyifatkan langkah memilih Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi sebagai satu kesilapan.
Jelas Tunku Ismail, beliau melihat perancangan jangka pendek badan induk itu dengan membuka peluang buat pemain naturalisasi bagi menyarung jersi skuad Harimau Malaya, adalah langkah baik namun pemilihan pemain dilihat kurang tepat.
Katanya lagi, De Paula dan Liridon tidak sepatutnya dipanggil oleh pengendali negara, Kim Pan-gon dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2023 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur awal bulan ini kerana kedua-duanya jarang beraksi bersama kelab.
Kamarudin menganggap ketidakhadiran De Paula ke dalam sesuatu kelab bukan suatu kerugian. — Utusan
Agak senada dengan Tunku Ismail, Kamarudin Abdullah berkata, De Paula dikecualikan daripada senarai pemain naturalisasi yang dianggap terbaik buatnya ketika ini.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM itu berpendapat, penyerang kelahiran Brazil itu tidak hebat seperti dijangkakan apabila pemain tempatan negara ini dilihat lebih baik berbandingnya.
"Yang (pemain) lain saya tak boleh komen. (De Paula) tak hebat mana pun. Kalau tak ambil dia pun tak rugi," katanya kepada Majoriti.
Ketika ditanya tentang tangggapan segelintir pihak bahawa JDT merupakan lubuk pemain naturalisasi, Kamarudin mengakui bersetuju dengan pandangan itu.
Beliau berkata, hal ini kerana kelab tersebut disifatkan mewah kerana mempunyai kewangan lebih kukuh berbanding pasukan lain.
"Sebab gaji bulanan pemain naturalisasi bukanlah murah. Jadi, saya juga bersetuju dengan pendapat ini," katanya.
Namun, katanya, pemain tempatan akan berasa tersisih disebabkan pemain naturalisasi terdiri daripada pemain yang bagus.
"Kalau tak bagus buat apa kita ambil mereka. Jadi, pemain tempatan memang akan terasa," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram