Kedah menang besar, ini 5 poin jadi bualan penyokong


  • Podium
  • Isnin, 27 Jun 2022

Pasukan KDA FC meraih tiga mata ketika bertemu Kaya FC dalam peringkat kumpulan Piala AFC. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

SELEPAS kekalahan Kedah Darul Aman (KDA FC) ke atas kelab dari Indonesia, Bali United, 0-2, dalam perlawanan pertama Pila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), ramai penyokong skuad Sang Kenari yang menyatakan kerisauan.

Namun, perlawanan bertemu dengan kelab dari Filipina, Kaya FC, skuad kendalian Aidi Sharin Sahak membuktikan sebaliknya.

Malah, walaupun separuh masa pertama KDA FC dilihat beraksi agak lemau, rentak itu berbeza selepas memasuki separuh masa kedua di mana empat gol dijaringkan KDA FC dan gol tunggal dijaringkan Kaya FC.

Menerusi perlawanan pada Isnin, KDA memperoleh empat gol dengan dua dijaringkan oleh Fayadh Zulkifli dan masing-masing satu oleh Ronald Ngah Wanja dan Mahmoud Al-Mardi.

Kaya FC pula sekadar memperoleh satu gol menerusi Javier Augustine Ocampo Gayoso.

Menjengah ke media sosial, ramai penyokong KDA FC yang menyatakan kata semangat dan begitu positif dengan perjuangan pasukan kesayangan mereka dalam Piala AFC.

Berikut adalah lima poin yang menjadi tumpuan penyokong sepanjang perlawanan antara KDA FC dan Kaya FC yang diadakan di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, Indonesia pada Ahad.

290553324_453758659918823_6125496059881013671_n

Fayadh Zulkifli menjaringkan dua gol untuk KDA FC. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

Fayadh Zulkifli jadi penyelamat

Kebanyakan penyokong KDA FC pasti setuju bila melihat aksi longlai pasukan tersebut sehinggalah pemain Fayadh Zulkifli masuk pada separuh masa kedua.

Rentak permainan yang sebelum ini perlahan semakin rancak dengan pelbagai peluang cuba dicipta Fayadh menerusi gerakan lincahnya.

Muhammad Firdaus berkata, separuh masa pertama memang nampak permainan KDA FC agat berat sehinggalah kemasukan Fayadh.

"Separuh masa kedua bila Fayadh masuk terus banyak peluang dicipta. Tapi empat pun dah cukup untuk menang. Harap boleh perbaiki lagi bab hantaran dan kawalan bola," katanya.

290606747_453695689925120_6632371945142267450_n

KDA FC mula meningkatkan rentak perlawanan pada separuh masa kedua. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

Serangan Kedah terlalu berhati-hati

Jumlah jaringan yang dihasilkan KDA FC sepatutnya bukan empat, tetapi lebih lagi. Mungkin enam atau tujuh gol.

Namun, bahagian serangan nampaknya terlalu berhati-hati. Sepatutnya setiap peluang yang ada digunakan untuk kerap masuk ke dalam kawasan kotak penalti.

Perkara itu sekurang-kurangnya dapat menghasilkan sepakan percuma atau penalti jika diasak pertahanan.

Fitri Hamid berkata, corak permainan KDA FC nampak kelam kabut dan banyak hantaran yang tidak sampai.

"Fayadh nak buat serangan pun terpaksa menghentikan lariannya kerana tidak ada sokongan di bahagian depan," katanya.

290405084_453727529921936_8218260478770593330_n

Ronald Ngah (kiri) meraikan gol yang dijaringkan ketika bertemu Kaya FC. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

Ronald Ngah Wanja tak tamak

Pemain yang menjadi tumpuan dalam perlawanan menentang Kaya FC semestinya penyerang KDA FC, Ronald Ngah.

Seorang penyokong, Bvrd Ortega berkata, Ronald Ngah tidak menggunakan fancy footwork sebaliknya dia membelah pertahanan Kaya FC menggunakan kekuatan fizikal yang dia ada.

"Bila nampak yang dia mampu mengatasi pertahanan Kaya FC dengan cara tu, dia cuba lagi untuk kali yang kedua dan ketiga dan hasilnya Mahmoud berjaya mencetak gol yang kedua dan Ronald Ngah sendiri dapat cetak satu gol peribadi untuk dia sendiri.

"Sikap Ronald Ngah yang tak tamak tu jugak menyumbang kepada kedua-dua gol awal dalam perlawanan ni.

"Ronald Ngah ni dia ada sikap yang kalau dia tak mampu nak hasilkan jaringan, dia akan cuba untuk rakan lain hasilkan jaringan," katanya.

289669533_453719689922720_687891546993685210_n

Mahmoud Al-Mardi (dua dari kanan) masih belum serasi bersama pasukannya. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

Mahmoud Al-Mardi perlu diberi masa

Rentak pemain import baharu KDA FC, Mahmoud Al-Mardi tidak boleh disangkal lagi. Ini pemain yang boleh menjadi tumpuan sedikit masa lagi.

Beberapa cubaan dibuat Mahmoud hampir menjelmakan gol sehinggakan dia digelar pemain yang tamak dalam perlawanan itu.

Faizal Mus berkata, Mahmoud dilihat mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Syafiq Ahmad sebagai penggerak di bahagian atas.

"Cuma dia dia perlu banyak lagi perlawanan untuk mewujudkan keserasian dalam pasukan. Banyak peluang dia ada tetapi kurang komunikasi dengan pemain lain yang membuatkan beberapa peluang terlepas," katanya.

290009460_453716319923057_4069537095676741928_n

Pemain KDA FC perlu fokus untuk perlawanan wajib menang bertemu Visakha. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

Fokus lawan Visakha

Selesai perlawanan kedua dalam peringkat kumpulan, perjalanan KDA FC masih belum selesai apatah lagi selepas ini skuad Sang Kenari perlu berdepan Visakha FC pada 30 Jun depan.

Bagi Muhammad Arif Rizz, KDA FC wajib menang walaupun satu gol ke atas Visakha FC.

"Walaupun menang 4-1 ke atas Kaya FC, KDA FC masih berada di kedudukan ke tiga dalam kumpulan kerana tewas kepada Bali United dalam perlawanan sebelum ini," katanya.

Emy Kurinfun IV pula berkata, KDA perlu mengekalkan momentum seperti di separuh masa kedua ketika menentang Visakha nanti.

"Perlawanan seterusnya, tolong perbaiki corak hantaran tepat kepada rakan dan permainan menyerang yang lebih banyak," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram