Betulkan niat, elak bersedekah semata-mata nak jadi kaya


  • Mukmin
  • Selasa, 28 Jun 2022

DALAM Al-Quran ALLAH menyebut akan manfaat apabila seorang Muslim melakukan sedekah.  — Agensi

SEDEKAH merupakan salah satu amal soleh yang sangat disukai oleh ALLAH SWT dan ia boleh menjadi salah satu daripada beberapa cara untuk membentuk kehidupan yang adil, makmur, aman dan sejahtera walau di mana seorang Muslim itu berada.

Malah ada juga sesetengah orang menggunakan konsep sedekah dengan niat untuk menjadi kaya dan tidak dapat dinafikan dalam Al-Quran di mana ALLAH menyebut akan manfaat apabila seorang Muslim melakukan amal jariah itu.

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan ALLAH adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. ALLAH melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan ALLAH Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” — (Surah al-Baqarah ayat 261)

Ayat di atas ALLAH SWT memberikan motivasi kepada hamba-Nya, iaitu mereka yang menafkahkan harta di jalan-Nya, pasti Allah akan membalasnya 700 kali ganda.

Bagi pendakwah selebriti, Ustaz Adnin Roslan berkata, sebagai Muslim semua kena betulkan niat semasa melakukan apa saja amalan kebaikan termasuk bersedekah dan bukannya semata-mata kerana inginkan kekayaan.

"Kalau niat semata-mata nak kaya tak dapat pahala. Biarlah kerana ALLAH SWT. Mungkin kita tidak kaya di dunia tapi kita kaya di akhirat.

"Bila kita niat semata-mata nak kaya apabila bersedekah tapi apa jadi bila kita sedekah dan kita pun tak kaya-kaya? Mesti kita terus tak rasa bersedekah. Jadi benda itu bahaya," katanya.

Soal menjadi kaya ataupun tidak apabila bersedekah, semua itu perlu diserahkan kepada ALLAH SWT dan percaya bahawa Sang Pencipta akan memakbulkan permintaan seorang hamba-Nya.

Menurutnya, erti kekayaan sebenar adalah apabila manusia sentiasa rasa bersyukur dengan apa yang diperolehi dan seorang Muslim perlu menggunakan segala nikmat yang ALLAH SWT serta tinggalkan perkara maksiat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram