Pernah patah semangat, anak pemandu lori hadiah anugerah khas buat arwah bapa


Azmi berdiri bersebelahan kerusi yang sepatutnya diduduki oleh arwah bapanya pada Majlis Konvokesyen Kolej Uniti Kota Bharu di Hotel The Grand Renai, pada Ahad.

HASRAT insan berstatus orang kurang upaya (OKU) yang cacat kedua-dua tangan dan tulang belakang membengkok untuk menghadiri majlis konvokesyen bersama bapanya tidak kesampaian apabila lelaki itu meninggal dunia pada Disember tahun lalu.

Perasaan hiba graduan Diploma Psikologi Kolej Uniti Kota Bharu, Azmi Ibrahim, itu bagaimanapun sedikit terubat apabila dia dinobatkan sebagai penerima anugerah khas atas kecemerlangan akademik dan kegigihan sepanjang tempoh pengajian dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.85.

Menurut pemuda berusia 26 tahun itu, kejayaan yang dikecapi adalah ‘hadiah’ yang ingin disampaikan kepada arwah bapanya, Allahyarham Ibrahim Ismail, 61, yang meninggal dunia akibat sakit jantung.

“Saya simpan dua pas masuk ke majlis konvokesyen ini untuk ibu dan bapa, tetapi ALLAH lebih sayangkan bapa, dia ‘pergi’ dahulu sebelum sempat majlis ini berlangsung.

“Ibu saya pula tinggal di Jerteh, Terengganu dan tidak dapat datang kerana menjaga datuk yang sakit. Tetapi tidak mengapa. Saya hadiahkan anugerah khas ini kepada mereka terutama arwah bapa,” katanya sebak.

Azmi berkata demikian ketika ditemui di Majlis Konvokesyen Kolej Uniti Kota Bharu di Hotel The Grand Renai di Kota Bharu, Kelantan pada Ahad.

Hadir menyampaikan anugerah tersebut, Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Azmi yang merupakan anak kelima daripada sembilan beradik berkata, dia sangat akrab dengan arwah bapanya.

“Saya menyedari diri tidak sempurna dan berdepan pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi dalam banyak perkara, tetapi saya perlu bersyukur kerana masih ada orang yang melalui situasi lebih sukar serta kekurangan berbanding saya.

“Arwah bapa adalah insan yang sentiasa menjadi sumber inspirasi kepada saya selama ini dan dia juga memujuk setiap kali saya patah semangat atau gagal dalam pembelajaran mahupun kehidupan,” katanya yang berasal dari Jerteh.

Katanya, berkat doa ibunya yang bekerja sebagai tukang sapu dan arwah bapa sebagai pemandu lori, dia berjaya mendapat Anugerah Dekan pada semester pertama dan PNGK antara 3.7 dan 3.9 sepanjang enam semester serta kini bekerja sambilan sebagai Pegawai Pengambilan Pelajar di Kolej Uniti Kota Bharu.

Pada majlis itu, seramai 284 graduan menerima diploma bidang Pengurusan, Pengajian Islam, Psikologi, Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pengurusan Industri Halal.

Tiga lagi graduan menerima anugerah khas iaitu Wan Muhammad Akmal Wan Azman PNGK 3.61 (Anugerah Tok Kenali); Nurul Alya Syuhada Azlan PNGK 3.7 (Anugerah Che Siti Wan Kembang) dan Siti Masyitah Razmi PNGK 3.97 (Anugerah Presiden). — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram