Tok Gajah ambil risiko, Mior belum cukup 'masak' main Liga Super


  • Podium
  • Ahad, 26 Jun 2022

Mior Dani Armin (kiri) beraksi dalam kesebelasan utama ketika turun menentang NSFC. — Facebook/Negeri Sembilan Football Club

KEMASUKAN bintang muda Kelantan FC, Mior Dani Armin ke pasukan Sri Pahang FC nampaknya hanya akan membakar lagi jiwa penyokong pasukan itu yang kini kian membara selepas tiada kemenangan dicatatkan dalam empat perlawanan sebelum ini.

Masuk sebagai pemain pinjaman pada pertengahan musim, ada yang beranggapan bahawa Mior belum cukup 'masak' untuk bermain dalam Liga Super apatah lagi ketika ini penyokong mahukan impak segera daripada skuad Tok Gajah.

Menyatakan perkara sama, pemerhati bola sepak tempatan, Zuraimi Zukri berkata, Sri Pahang FC sebenarnya mengambil risiko ketika menerima Mior ke dalam pasukan.

"Mior baru nak mantapkan dirinya di Liga Premier dan untuk dia lompat terus ke Liga Super memerlukan masa yang mencukupi.

1614808

Mior Dani Armin diakui cemerlang ketika beraksi di Liga Premier.

"Kedua, dengan perancangan untuk menjadikan dia sebagai pemain utama di Liga Super ketika Sri Pahang FC memerlukan impak segera sebenarnya adalah satu keputusan yang salah.

"Keputusan Sri Pahang nampak terburu-buru kerana Mior belum mempunyai pengalaman yang banyak di Liga Super. Apa yang dialami Mior adalah sesuatu yang mengejutkan dirinya," katanya.

Jelas Zuraimi, pada mulanya Mior dijangka menjadi pemain gantian tetapi nampaknya pemain itu sudah bermain dalam kesebelasan utama sejak dua perlawanan lepas.

Ujarnya, Mior tidak boleh disalahkan dalam hal ini kerana keputusan Sri Pahang FC yang dirasakan tidak begitu tepat dan mungkin pasukan itu kurang tahu mengenai kualiti Liga Premier sekarang.

Kelab bola sepak tiada perancangan untuk pemain

Satu perkara lagi yang disentuh Zuraimi adalah berkenaan dengan keputusan kelab bola sepak tempatan yang suka mengambil pemain tanpa perancangan yang sesuai untuk mereka.

"Main campak macam itu dan lepas kalah, salin sekali lagi. Lepas itu campak macam itu balik. Kalah, salin balik.

290387579_435207048487795_7518738660659234635_n

Sri Pahang FC perlu melakukan sesuatu untuk meredakan kemarahan penyokong. — Facebook/Negeri Sembilan Football Club

"Kadang-kadang pemain itu okay, tapi perancangan yang tak okay. Mana boleh dari tahap tiga terus nak lompat ke tahap lapan. Tak boleh. Peratusan untuk gagal jadi tinggi," katanya.

Menurut Zuraimi lagi, jika Mior gagal di Sri Pahang, maka jawapannya adalah disebabkan kelab membuat keputusan tergesa-gesa dengan waktu yang tidak sesuai.

Zuraimi turut memberi cadangan nama pemain yang dirasakan sudah mempunyai kualiti bagus untuk beraksi di Liga Super.

"Amirul Syafik dari Kelantan United. Dia ini dapat dilihat sama tahap dengan Fayadh Amin Zulkifli," katanya.

Terdahulu, berlaku insiden perbalahan mulut antara penyokong dan pemain Sri Pahang FC selepas pasukan itu kalah 0-3 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Penyokong sudah mula berang dengan prestasi pasukan yang masih buntu mencari kemenangan dan Sri Pahang FC pula perlu mencari satu impak segera yang boleh memadamkan api keresahan penyokong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram