Dua beranak rentung dalam kebakaran banglo di KL


  • 112
  • Ahad, 26 Jun 2022

Seorang ibu dan anaknya rentung dalam kebakaran sebuah banglo pada pagi Ahad. — Bomba KL

SEORANG wanita warga emas bersama anak lelakinya ditemui rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah banglo, di Taman Gembira dekat Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada Ahad.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Musa Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran pada pukul 6.22 pagi.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh dibantu anggota dari BBP Hang Tuah, BBP Sri Petaling dan BBP Pantai dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 6.32 pagi.

"Kebakaran melibatkan sebuah rumah banglo empat tingkat berkeluasan 80 kali 70 kaki persegi dan anggaran kemusnahan kebakaran di tingkat satu adalah 100 peratus, manakala di tingkat dua adalah 50 peratus," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

1818800

Kedua mangsa ditemui rentung dalam kebakaran tersebut. — Bomba KL

Musa berkata, anggota bomba menjalankan kerja pemadaman menggunakan kaedah pemadaman secara 'offensive fire figthing' bagi mengelakkan api merebak ke rumah bersebelahan.

"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.54 pagi dan berjaya dipadamkan pada 7.12 pagi," katanya.

Menurutnya, kebakaran itu mengakibatkan seorang lelaki berumur 20-an dan wanita berumur 60-an maut.

"Dua lagi mangsa masing-masing berumur 30-an cedera dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

rentung, kebakaran, Taman Gembira, banglo