Misteri kematian cucu dan datuk, darah kering di bilik tidur jadi tanda tanya


  • Benua
  • Ahad, 26 Jun 2022

Lokasi kejadian seorang remaja dan datuknya yang ditemui mati di kawasan flat Bukit Batok West, pada Khamis. — Google Maps

SEORANG remaja perempuan 14 tahun dan datuknya, 84 tahun, ditemui mati di dua tempat berasingan di kawasan flat Bukit Batok, Singapura pada petang Khamis.

Remaja tersebut ditemui tidak sedarkan diri di kaki lima Blok 115 Bukit Batok West Avenue 6 dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik.

Polis berkata, mereka dimaklumkan mengenai insiden itu pada 5.50 petang dan tidak mengesyaki berlakunya perbuatan jenayah.

Sejurus kemudian, pada pukul 5.55 petang, polis dimaklumkan berlakunya satu lagi kes kematian luar biasa di Blok 363 Bukit Batok Street 31.

polis

Pihak polis sedang menyiasat sekiranya kedua-dua kes ada kaitan. — Agensi

"Jaraknya kira-kira dua kilometer dari tempat remaja perempuan ditemui. Warga emas itu pula ditemui tidak sedarkan diri dengan kecederaan di dada," kata polis memetik laporan The Straits Times pada Sabtu.

Paramedik mengesahkan kematiannya di tempat kejadian.

Polis dalam kenyataannya berkata, remaja perempuan tersebut adalah cucu kepada lelaki terbabit dan kedua-dua menetap di unit sama iaitu Blok 363, lokasi warga emas itu ditemukan.

"Pihak polis sedang menyiasat sekiranya kedua-dua kes ada kaitan antara satu sama lain," katanya.

Tinjauan The Straits Times ke rumah mangsa mendapati perabot dari unit blok flat itu termasuk sebuah kabinet dengan kesan darah dikeluarkan dari rumah untuk dilupuskan oleh kontraktor pada hari kejadian.

perabot

Perabot termasuk sebuah kabinet dengan kesan darah yang dikeluarkan dari bilik tidur utama sebuah unit di Blok 363 Bukit Batok Street 31. — Agensi

Menurut kontraktor tersebut, barang-barang itu dikeluarkan dari bilik tidur utama flat berkenaan, yang mana salah seorang pekerja ada ternampak kesan darah kering di atas lantai, lapor akhbar bahasa Cina, Lianhe Zaobao.

Berdasarkan laporan sama, seorang penduduk di Blok 363 itu memaklumkan remaja perempuan tersebut adalah pelajar tingkatan dua yang tinggal bersama ibu bapa dan datuknya.

Ada jiran lain memberitahu, datuk remaja tersebut pernah menjalani pembedahan dan berjalan menggunakan tongkat, lapor akhbar itu.

Siasatan polis bagi kedua-dua kes masih dijalankan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram