MAYAT tiga beranak dikhuatiri lemas selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling (sempadan Baling-Sungai Petani), ditemukan awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mayat Masyitoh Ibrahim, 37, dan dua anak lelakinya Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq, 5, dijumpai di dalam kereta jenis Proton Persona yang tenggelam di dalam sungai itu.
"Mayat guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong, Kuala Ketil itu ditemukan bersama dua anaknya yang merupakan murid tahun satu dan prasekolah di sekolah sama.
"Kesemua mereka yang tinggal di Lorong Kemboja, Sungai Petani itu memakai tali pinggang keledar.
"Kejadian berlaku apabila kereta dipandu Masyitoh dari arah Kuala Ketil menghala ke Sungai Petani hilang kawalan ke kiri jalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Muda,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Kereta mangsa berjaya dinaikkan pada 3.30 pagi dan kesemua mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. — Ihsan JBPM
Beliau berkata, mayat tiga beranak itu telah dibawa ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.42 petang, Sabtu berhubung kejadian sebuah kereta terbabas ke dalam sungai.
"Anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang membuat selaman telah berjaya menemukan kereta berkenaan kira-kira pukul 1.41 pagi di kedalaman 7.62 meter. Anggota PPDA telah membantu memasang kabel bagi membolehkan kren membawa naik kereta itu ke darat.
"Kereta itu berjaya dinaikkan pada 3.30 pagi dan kesemua mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 4.43 pagi,” katanya.
Identiti tiga beranak itu dimaklumkan oleh ahli keluarga sebaik mengetahui kemalangan terbabit . — Ihsan JBPM
Kejadian itu turut tular di media sosial selepas info-info kemalangan dikongsikan penduduk Kuala Ketil di Facebook. Difahamkan, mangsa meninggalkan seorang suami dan seorang lagi anak lelaki dipercayai anak bongsu mereka.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Fazilah Azmi menerusi satu hantaran status, menyifatkan mangsa yang juga guru kelas anaknya, sebagai seorang yang baik dan banyak berjasa kepada anak muridnya.
"Salam takziah buat keluarga arwah, arwah baik orangnya. Guru kelas anak saya. Semoga bersama yang beriman.
"Warga SK Kampung Selarong berduka dan kehilangan seorang mutiara yang sangat bernilai. Rehatlah ustazah, kamu banyak berjasa," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram