Sudut positif Mintah jadi 'budak KL'


  • Podium
  • Rabu, 22 Jun 2022

Mintah berjaya membuat 25 penampilan dan jaringan sejak 2020 bersama Terengganu. — Facebook

PENYERANG import pasukan Terengganu FC, Jordan Mintah sah menyertai juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City bagi menghadapi Piala AFC 2022 dan baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Ia dilihat sebagai solusi bagi ketumpulan jentera serangan pasukan Citizens atau Warga Kota itu selepas dua penyerang utama, Dominique da Sylva dan Kyrian Nwabueze, mengalami kecederaan jangka panjang.

IMG_1523

Mintah sertai KL City secara pinjaman. Facebook

Perkara itu dimaklumkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dalam satu ciapan di Twitter.

"Jordan Mintah sertai juara Piala Malaysia 2021! Difahamkan, penjaring terbanyak Liga Premier 2021 itu dilepaskan Terengganu FC II secara pinjaman ke Kuala Lumpur City FC," tulisnya.

Musim lalu, Jordan berjaya menjaringkan 16 gol sekali gus berkongsi carta penjaring terbanyak dengan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Fernando Rodriguez di dalam Liga Premier.

Pemain kelahiran Ghana tampil cemerlang membantu skuad utama Terengganu FC musim lalu apabila dia berjaya mencuri hati peminat dengan gaya permainannya sehingga ada yang mahu dia terus kekal di dalam pasukan.

Jordan-Mintah

Mintah mempunyai larian dan skill individu yang tinggi bagi mengancam kubu pertahanan pihak lawan. Facebook

Mintah bukan penyerang yang mampu hanya menjaringkan gol di dalam kotak penalti tetapi dia juga boleh mencari jaringan dari sepakan percuma seperti mana yang dia lakukan menentang Selangor pada musim lalu di Stadium MBPJ.

Pemain berusia 26 tahun ini mempunyai larian dan skill individu yang baik bagi mengancam kubu pertahanan pihak lawan.

Selain mempunyai 'instinct' sebagai seorang penyerang, pemain berusia 26 tahun ini juga boleh menjadi sayap yang mampu mengumpan bola dengan baik kepada rakan sepasukan yang lain.

Sepanjang karier bersama skuad utama dan simpanan Terengganu, Mintah berjaya membuat 25 penampilan dan jaringan sejak 2020.

B15AC27B-CDA0-445C-A48F-BC0C891BD590

Mintah pernah dikaitkan untuk menyertai pasukan Selangor FC. Facebook

Dengan kehadiran Mintah, ia diharapkan akan melengkapkan skuad KL City, biarpun tidak dapat beraksi dalam perlawanan pertama Piala AFC menentang kelab Indonesia, PSM Makassar, pada Jumaat.

Kuala Lumpur City akan membuka tirai kumpulan H saingan Piala AFC menentang kelab Liga 1 Indonesia, PSM Makassar pada 24 Jun ini dan kemudiannya akan turun menentang Tampines pada 30 Jun.

Dengan hanya tiga pasukan dalam kumpulan H, peluang untuk KL City mara ke pusingan seterusnya nampak cerah memandangkan PSM dan Tampines tidak menampilkan prestasi terbaik mereka dalam saingan liga domestik masing-masing.

Sebelum ini, Mintah dikaitkan dengan kelab lain dari Lembah Klang iaitu Selangor dan ada beberapa keping gambar yang beredar di laman media sosial yang menunjukkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon menghubungi pemain kelahiran Ghana itu menerusi aplikasi Whatsapp.

Akan tetapi, Dr Johan Kamal kemudiannya menafikan beliau menghubungi Mintah dan menepis khabar angin yang mengatakan pihaknya mahu mendapatkan pemain itu tanpa sepengetahuan kelabnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram