BERDASARKAN ranking semasa, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon akan berada di Balang 4 jika undian Piala Asia 2023 dilakukan ketika ini.
Situasi itu pasti ‘memeritkan’ buat Harimau Malaya apabila dijangka berdepan dengan pasukan gergasi dalam penampilan mereka di pentas berprestij Asia itu.
Bagaimanapun, Harimau Malaya masih mampu sekurang-kurangnya berada di Balang 3 jika menang ke atas lawan lebih kuat dalam aksi persahabatan, sekali gus memperbaiki ranking semasa.
Persoalan yang timbul ketika ini, sejauh mana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mampu menarik minat pasukan lawan yang mempunyai ranking lebih baik untuk beraksi pada perlawanan persahabatan itu.
Bagi pemerhati sukan tanah air, Dr Pekan Ramli berpandangan, perkara itu tidak mustahil jika FAM sanggup mengeluarkan bajet besar bagi mendapat ‘kepercayaan’ lawan yang dihajati.
Menurutnya, FAM juga boleh mengikut langkah Johor Darul Takzim (JDT) yang berjaya menarik minat kelab besar di Asia dan Eropah untuk beraksi menentang mereka pada sesi pramusim.
“Benar, ia memang sukar kalau kita nak menentang pasukan yang rankingya jauh lebih baik berbanding Malaysia kerana ia langsung tidak mendatangkan keuntungan buat mereka.
“Namun, ia bukanlah satu perkara yang mustahil untuk dilakukan kerana JDT pernah tunjukkan bahawa mereka mampu untuk mengadakan perlawanan pramusim menentang kelab besar dari Asia mahupun Eropah.
“Cuma FAM kena keluarkan kos besar atau mewujudkan kejohanan jemputan khas dengan menawarkan imbuhan hadiah kemenangan. Itu pasti akan menarik minat pasukan terbabit.
“FAM juga boleh guna kelebihan 'networking' yang mereka ada. Ramai orang kita yang ada jawatan tinggi dalam Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ketika ini.
“Jadi, inilah peluang terbaik untuk mempelawa pasukan-pasukan besar yang ranking lebih tinggi bermain menentang Malaysia,” katanya pada Ahad.
Pada masa sama, beliau berkata, dengan memperbaiki ranking semasa juga tidak cukup untuk membantu Harimau Malaya mengharungi saingan Piala Asia 2023 sekiranya tiada persiapan rapi dilakukan.
Justeru, beliau mencadangkan jika FAM gagal mendapat lawan yang kuat, mereka boleh mengadakan aksi persahabatan dengan kelab yang sama taraf atau lebih hebat berbanding Harimau Malaya.
“Tidak perlulah menjadikan soal ranking sebagai penentu nasib untuk berada di balang mana pada undian nanti. Beraksi di balang mana pun sudah bukan persoalan lagi.
“Ini kerana skuad kebangsaan perlu hadapi siapa pun lawan mereka untuk benar-benar diakui kehebatan atau menjadi 'true champion',” jelasnya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram