Bekas produk Man City perkuat skuad muda negara, jadikan Safawi Rasid sebagai idola


  • Podium
  • Rabu, 22 Jun 2022

Omar (kiri) gemar beroperasi sebagai pemain tengah. — Agensi

PEMAIN muda Red Star Belgrade, Omar Raiyan tersenarai ke kem latihan pusat bawah 19 tahun (B-19) negara menjelang Piala AFF B-19 yang akan bermula pada Julai di Indonesia.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan B-19, Hassan Sazali Mohd Waras memanggil 26 pemain bagi menyertai kem latihan pusat fasa kedua sebagai persiapan menjelang Kejuaraan AFF B-19.

Saingan Piala AFF akan bermula 2 hingga 5 Julai dan akan berlangsung di dua buah venue iaitu Stadium Madya GBK, Jakarta dan Stadium Patriot, Bekasi, Indonesia.

Menurut portal Onefootball.my, pemain berusia 18 tahun itu sudah mula berlatih bersama skuad projek FAM-MSN di Bukit Jalil sejak minggu lepas.

Omar Raiyan 1

Omar tersenarai ke kem latihan pusat bawah 19 tahun (B-19) negara menjelang Piala AFF B-19. — Agensi

Omar menjadi sebutan penyokong bola sepak negara pada Jun 2020 yang mana dia berjaya menandatangani kontrak bersama bekas pemenang Liga Juara-Juara Eropah (UCL), FK Crvena Zvezda atau lebih dikenali dengan nama Red Star Belgrade.

Omar terpilih untuk menyertai akademi kelab terkenal Serbia itu sejak usianya 15 tahun dan merupakan pemain tengah yang berpotensi besar.

Untuk rekod, Omar pernah menyertai akademi terkemuka di dunia iaitu Manchester City pada usianya sembilan tahun dan pemain itu turut pernah diiktiraf antara 25 pemain remaja terbaik di UAE.

Omar Raiyan 2

Omar merupakan playmaker buat pasukannya. — Agensi

Selain itu, Omar juga pernah memenangi Piala Iber pada 2019, kejohanan sama yang pernah dimenangi oleh skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) pada 2015.

Omar gemar beroperasi sebagai pemain tengah (centre midfielder). Tugasnya menjadi penghubung kepada barisan serangan hadapan menerusi hantaran tepat samada secara jauh ataupun dekat.

Dia turut menjadikan dirinya sebagai umpan kepada barisan pertahanan pasukan lawan, sekali gus membuka peluang kepada rakan sepasukannya untuk mendapatkan gol.

Pendek kata, Omar merupakan perancang (playmaker) buat pasukannya. Selain itu, Omar disukai oleh jurulatihnya kerana menunjukkan kemampuan sebagai seorang pemain yang versatil.

Antara posisi lain yang boleh dimainkan oleh Omar adalah pertahanan kiri dan sayap kanan.

Safawi-Rasid

Omar menjadikan Safawi sebagai idola bola sepaknya. — Agensi

Pemain berusia 18 tahun menjadikan penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid sebagai idola dalam kalangan pemain bola sepak dalam negara.

Untuk pengetahuan semua, dalam kejohanan kali ini, Malaysia B-19 diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Laos, Timor Leste, Kemboja dan Singapura.

Sementara itu, Kumpulan A pula terdiri daripada tuan rumah, Indonesia serta Myanmar, Vietnam, Thailand, Brunei dan Filipina. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram