Antara Kedah atau Selangor, mana satu lebih perlukan Sony Norde?


  • Podium
  • Selasa, 21 Jun 2022

Aksi terakhir Sony Norde (kanan) bersama pasukan Melaka United. — Facebook/Melaka United Football Club

SECARA rasminya, pemain sayap Melaka United, Sony Norde akhirnya mengesahkan yang dia telah memilih untuk keluar dari kelab tersebut.

Norde dilaporkan berkata, dia mengakui dirinya sudah tidak gembira bersama pasukan itu dan meminta maaf kepada penyokong kerana membuat keputusan tersebut.

Antara seperkara lagi yang disebut Norde adalah berkenaan dengan tawaran yang disahkannya hadir dari Indonesia dan beberapa kelab dalam liga tempatan.

Pemain berasal dari Haiti itu bagaimanapun memberitahu yang dia lebih selesa untuk kekal bermain dalam liga tempatan dan ini membawa kepada desas-desus sebelum ini yang mengaitkannya dengan Selangor FC serta Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Ini bukan kali pertama Norde dikaitkan dengan pasukan KDA FC kerana sejak hujung tahun lalu lagi, namanya sudah disebut bakal berhijrah namun Norde memilih untuk kekal di Melaka United.

Jadi dengan berbaki lima hari lagi sebelum jendela perpindahan ditutup, maka pastinya berlaku perubahan dalam kedua-dua pasukan jika benar Selangor dan KDA FC ingin mendapatkan Norde.

Berdasarkan senarai terkini di KDA FC, lima pemain import mereka adalah Marc Vales, Dechi Marcel, Ngah Wanja, Sanrawat Dechmitr, dan seorang lagi pemain dari Jordan yang akan diumumkan, Mahmoud Al-Mardi.

Justeru, KDA FC dilihat perlu menggugurkan seorang pemain importnya jika mahu mengambil Norde.

Skuad The Red Giants pula ketika ini dilihat tiada sebarang pengumuman perubahan pemain dengan Yazan Al-Arab, Baha’ Abdel-Rahman, Safuwan Baharudin, Caion dan Hyuri dilihat masih bersama mereka menjalani sesi latihan.

1592437

Syafiq Ahmad (kanan) sebelum ini dipinjamkan ke KDA FC sebelum dipanggil semula bersama JDT. — Facebook/KDA FC

Norde isi tempat Syafiq Ahmad?

Pada masa sama, sekembalinya Syafiq Ahmad ke pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menyaksikan penyerang Kedah, Ronald Ngah Wanja seakan-akan tempang sebelah kaki.

Malah, KDA FC juga sebenarnya tidak mempunyai pemain gantian yang boleh mengisi kekosongan Syafiq.

Peranan yang dibawa Syafiq dalam KDA FC dilihat begitu mirip dengan Norde yang juga sangat lincah di bahagian sayap dan serangan.

Malah, Norde sebelum ini sering dianggap sebagai perancang serangan dalam pasukan Melaka United sekali gus membantu Manuel Ott di bahagian serangan.

Aksi Syafiq juga sebelum ini yang banyak membantu Ronald Ngah untuk menjaringkan gol dan Norde juga mempunyai keupayaan yang hampir sama.

Dengan paduan antara Norde dan Ronald Ngah, bahagian serangan KDA FC boleh dianggap cukup padu dan mampu memberi kesan positif kepada pasukan terutamanya menjelang saingan peringkat kumpulan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak lama lagi.

SELANGOR_FC_VS_HARINI_FT_1647073537

Aksi Hyuri (kanan) selepas menjaringkan gol dalam perlawanan bersama Selangor FC sebelum ini. — Bernama

Selangor mahu tambah kekuatan

Namun jikalau dilihat kepada kualiti pemain di bahagian tengah, Selangor FC sebenarnya sudah mempunyai pemain yang boleh dikatakan sudah serasi.

Jika benar Selangor FC mahu menyunting Norde, kedudukannya mungkin akan menggantikan Hyuri Henrique.

Kelicikan Norde sebenarnya boleh membantu penyerang Selangor FC, Herlison Caion di bahagian serangan.

Melihat kepada perlawanan sebelum ini, Hyuri mempunyai kemampuan untuk menjaringkan gol tetapi tidak mempunyai idea untuk merancang serangan.

Cuma, Hyuri juga sejak kebelakangan ini dilihat semakin konsisten dalam menjaringkan gol dan kemasukan Norde dilihat hanya akan menambahkan koleksi pemain Selangor di bahagian tengah, seperti kata pepatah bahasa Inggeris, 'icing on the top of cupcake'.

Apa pun yang terjadi, keputusan akhirnya terletak di tangan Norde dan menjelang penutupan jendela perpindahan pemain kedua pada Jumaat, Norde semestinya sudah mempunyai perancangan memilih pasukan yang diinginkan untuk beraksi bersama sepanjang baki saingan domestik musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram