Jangan beri tekanan tapi kata-kata semangat jika keputusan SPM anak tidak memuaskan - MB Kedah


  • Primer
  • Khamis, 16 Jun 2022

Sanusi mengingatkan ibu bapa agar tidak terus memberi tekanan kepada anak-anak sekiranya mereka memperoleh keputusan peperiksaan SPM 2021 yang kurang memuaskan.

IBU bapa diharap tidak terus memberi tekanan kepada anak-anak sekiranya mereka memperoleh keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang kurang memuaskan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebaliknya ibu bapa perlu memberi kata-kata semangat dan dorongan kepada anak-anak supaya mereka cemerlang pada masa hadapan.

"Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang, teruskan kecemerlangan dengan penuh tawaduk manakala bagi mereka yang tidak memperoleh keputusan yang diidam-idamkan, redalah bahawa ini bukan pengakhiran dalam kehidupan anda.

"Sentiasalah beringat bahawa ini bukan kemuncak dalam kehidupan tetapi baru permulaan dan teruskanlah kerja keras untuk mencatat pencapaian yang lebih gemilang pada masa akan datang,” menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, perjalanan hidup anak-anak itu masih panjang dan terdapat lebih banyak peluang untuk menjadikan mereka seorang insan yang berjaya di dunia serta akhirat.

"Jangan sesekali berputus asa dan jadikan ia sebagai titik perubahan untuk menjadi seorang yang lebih bermotivasi seterusnya menjadi insan yang berjaya dalam segenap aspek kehidupan.

"Apa yang penting bagi saya ialah kemenjadian bagi diri mereka dalam meniti usia remaja secara sihat, mempunyai sahsiah peribadi mulia, kekuatan akal dan mental yang sihat, jati diri yang mantap serta jangan sesekali lalai dari solat,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, pelajar SPM 2021 adalah istimewa kerana mereka bukan sahaja merupakan kohort pertama Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) tetapi juga kumpulan yang benar-benar diuji dengan pembelajaran dalam suasana pandemik hampir sepenuhnya.

"Kepada anak-anak semua, saya berpesan supaya kuasailah ilmu rentas disiplin. Persaingan untuk hidup kini semakin sengit, cabaran kian hebat jadi tiada tempat untuk mereka yang berputus asa,” katanya.

Di Kedah, seramai 383 iaitu 1.52 peratus calon sekolah kerajaan berjaya memperoleh gred A (cemerlang) bagi semua mata pelajaran yang diduduki dalam peperiksaan SPM tahun lepas manakala sejumlah 10 calon mendapat gred A+ (cemerlang tertinggi) dalam kesemua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan negeri, Rozaini Ahmad pula berkata, pencapaian keseluruhan calon SPM 2021 berdasarkan (Gred Purata) GP negeri ialah 5.14 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma, Alor Setar merekodkan pencapaian terbaik dengan GP 2.00.

muhammad sanusi, SPM, kedah, pelajar, keputusan