'Jangan ulangi kesilapan saya,' bekas tonggak Selangor beri nasihat buat lepasan SPM


  • Podium
  • Sabtu, 18 Jun 2022

INDUSTRI bola sepak belum mencapai ke tahap seperti EPL atau La Liga. — Bernama

PERKEMBANGAN dunia bola sepak di Malaysia nyata sudah berbeza selepas kehadiran Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mengemudi Johor Darul Takzim (JDT) ke tahap tertinggi.

Sejak memimpin kelab Harimau Selatan itu pada 2015, perubahan ketara dapat dilihat tidak kira sama ada corak permainan, keadaan stadium dan nilai pertukaran pemain, bukan sahaja buat JDT tetapi tempiasnya turut dirasai kelab-kelab lain.

Itu antara aspek yang jelas dapat dilihat, belum lagi diambil kira dalam soal pengurusan kelab dan mutu liga yang kian dipandang negara luar terutamanya dalam kalangan kelab Asia.

Namun, segalanya itu tetap belum tentu mampu menjadi jaminan masa depan sekiranya tidak mempamerkan aksi perlawanan terbaik atau gagal mengukuhkan kedudukan dalam pasukan.

Mungkin di liga yang lebih popular seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) atau liga Sepanyo, La Liga yang mana pasaran sebagai pemain bola amat bernilai.

Tetapi di Malaysia, industri bola sepak belum mencapai ke tahap tersebut dan tidak keterlaluan dikatakan bahawa perjalanan ke arah itu masih jauh.

271382199_873414686683999_486637363435572317_n

Nidzam Jamil memberi pendapatnya tentang industri bola sepak negara.

Disebabkan itu, penolong jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil meluahkan pendapatnya menerusi satu ciapan di Twitter.

Nasihatnya, pemain bola sepak muda seharusnya memberi fokus kepada pembelajaran sebelum menyertai bidang sukan.

"23 tahun lepas, keluar keputusan Sijil Penilaian Malaysia (SPM), saya sempat bergelar pelajar institusi pengajian tinggi (IPTA). Lepas setahun lebih, saya senyap-senyap berhenti kerana ingin bermain bola sepak secara profesional.

"Ibu bapa naik angin. Kalau boleh jangan ulang kesilapan yang pernah saya lakukan. Sekarang ini, ramai pemain bola sepak yang sudah ada ijazah.

"Memiliki kerjaya profesional itu bagus, tetapi dengan adanya pelajaran kamu akan rasa lebih terlindung," katanya.

Sebelum berhijrah ke Selangor FC, beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih Felda United FC selama setahun.

Bekas pemain pasukan Selangor yang berusia 42 tahun itu juga pernah berjaya menempatkan diri dalam skuad kebangsaan kebangsaan negara, Harimau Malaya.

Untuk rekod, beliau memulakan kerjaya dalam sukan bola sepak pada umur 18 tahun menerusi Piala Presiden dan pernah bermain dengan PKNS FC, Negeri Sembilan FA dan Proton FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram