CORAK permainan ditunjukkan pasukan kebangsaan yang berjaya layak ke Piala Asia 2023 adalah persembahan terbaik skuad Harimau Malaya sejak 42 tahun lepas, kata legenda bola sepak negara Datuk Jamal Nasir Ismail.
Bekas pemain pertahanan Pahang yang berada dalam skuad kebangsaan beraksi kali terakhir di Piala Asia 1980 di Kuwait itu berkata, beliau amat terharu dan bangga dengan apa yang dipersembahkan barisan pemain skuad bimbingan Kim Pan Gon.
Lebih membanggakan, beliau berkata, mutu permainan yang memberangsangkan itu membolehkan Malaysia menamatkan penantian 42 tahun yang cukup sengsara untuk layak secara merit ke Piala Asia.
"Saya tengok ini lah permainan terbaik ditunjukkan Malaysia selama ini (sejak 1980), kalau 42 tahun, 42 tahun lah.
"Ini adalah kemunculan baharu pasukan Malaysia yang dibarisi hampir kesemua pemain sama tetapi dengan corak permainan berbeza. Saya rasa Pan Gon telah mengubah landskap corak permainan kita,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Mengulas lanjut, Jamal Nasir berkata beliau terpukau dengan pendekatan taktikal ‘total football’ yang menyaksikan pemain pertahanan Corbin Ong dan Dion Cools turut berpeluang menjaringkan gol sekali gus menjadikan aksi lebih menarik.
"Total football adalah sistem taktikal dengan mana-mana pemain di padang kecuali penjaga gol boleh mengambil alih peranan mana-mana pemain lain dalam sesebuah pasukan.
"Cuma kita kena perkemas benteng pertahanan yang nampak lemah bila ada serangan balas, kita perlu elak melepaskan gol-gol mudah,” katanya yang membentuk gandingan pertahanan skuad kebangsaan yang utuh bersama Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh dan Kamarudin Abdullah.
Sementara itu, seorang lagi legenda bola sepak negara Khalid Ali yang terkenal dengan kelantangan mengkritik mutu permainan skuad kebangsaan berkata segala yang dikatakannya selama ini sudah terbukti.
Menurut bekas pemain Selangor itu, barisan pemain negara sememangnya mempunyai keupayaan untuk beraksi pada tahap terbaik seperti yang ditampilkan dalam ketiga-tiga perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 baru-baru ini.
"Saya memang bangga dengan pasukan negara sekarang, nampak ada perubahan. Saya berada di stadium seperti melihat pasukan negara beraksi dalam Kelayakan Pra-Olimpik (eranya)...cara mereka bermain dan semangat sebagai satu pasukan. Tanggungjawab digalas dengan baik,” katanya.
Pada masa sama, Khalid berharap prestasi terkini akan terus ditingkatkan menjelang Piala Asia 2023 supaya Malaysia tidak hanya menyertai, sebaliknya turut memberikan saingan dan cuba mencapai keputusan terbaik.
Justeru, beliau menggesa semua pihak dapat sama-sama membantu pasukan negara dalam perjalanan dan persediaan mereka ke Piala Asia.
"Saya harap pentadbiran (pasukan) ini jangan diganggu lagi dengan ‘tangan-tangan ghaib’, biar mereka berjalan dengan baik. Kita beri peluang Pan Gon selama dua hingga tiga tahun lagi, mungkin dia mampu mantapkan lagi pasukan negara,” katanya.
Selasa lepas, skuad bimbingan Pan Gon mencipta sejarah layak secara merit ke Piala Asia selepas menduduki tempat kedua dalam Kumpulan E saingan kelayakan sekali gus mara selaku antara lima naib juara terbaik dari enam kumpulan.
Pada saingan kelayakan yang berlangsung di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Malaysia bermula langkah kanan apabila menewaskan Turkmenistan 3-1 sebelum tewas di tangan Bahrain 1-2 dan bangkit membelasah Bangladesh 4-1 pada aksi terakhir.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Asia adalah pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun lebih empat dekad gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram