KEMENANGAN skuad Harimau Malaya ke atas Bangladesh dengan keputusan 4-1 akhirnya menamatkan penantian selama 42 tahun skuad kebangsaan untuk layak ke Piala Asia 2023.
Malah, laungan semangat dengan kehadiran lebih 50,000 penyokong nyata memberi semangat luar biasa kepada aksi setiap pemain Harimau Malaya.
Menerusi perlawanan pada Selasa, empat gol dijaringkan termasuk sepakan penalti oleh Safawi Rasid pada minit ke-16.
Safawi Rasid meraikan gol pertama yang dijaringkan menerusi sepakan penalti. — Facebook/FAM
Gol penyamaan kemudian dijaringkan pemain Bangladesh, Mohammad Ibrahim pada minit ke 32 sebelum Dion Cools membawa negara kembali mendahului dengan gol kedua pada minit ke 28.
Dua lagi gol dijaringkan pada babak kedua perlawanan menerusi jaringan Syafiq Ahmad ('47) dan Darren Lok pada minit ke 73.
Berikut adalah lima talking point yang menjadi bualan penyokong bola sepak usai kejayaan negara menempah kedudukan di Piala Asia.
Kim Pan-gon memerhatikan dari tepi padang aksi permainan anak buahnya. — Facebook/FAM
Taktikal mantap Kim Pan-gon
Sejak dilantik menjadi pengendali Harimau Malaya, taktikal Pan-gon sering menjadi bahan bualan penyokong kerana corak permainan skuad negara dilihat sangat berubah.
Malah, menerusi perlawanan dengan Bangladesh juga, corak high pressing dan high intensity masih menjadi taruhan Pan-gon.
Malah, seorang penyokong Harimau Malaya, Nizam Shahar juga melihat taktikal tersebut nampak makin sebati dengan jiwa pemain kebangsaan.
"Gaya corak permainan dan stamina pemain pada setiap game nampak lebih baik apabila Pan-gon menguruskan pasukan Malaysia.
"Permainan pun agak pantas terutamanya ketika menyerang. Semua pemain laju bergerak. Cuma bab kesilapan mudah itu boleh diperbaiki. High intensity game nampak bagus," katanya.
Dion Cools (kiri) dan Syamer Kutty.
Pemain terbaik, Dion Cools atau Syamer Kutty
Selepas perlawanan semalam, pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools telah dipilih sebagai pemain terbaik dalam perlawanan tersebut.
Walaupun berjaya menjaringkan satu gol, penyokong merasakan ada pemain lain yang dilihat sepatutnya menjadi pilihan sebagai pemain terbaik selain Cools.
"Bagi saya, Syamer Kutty adalah pemain terbaik dalam perlawanan menentang Bangladesh. Nampak dia betul-betul mengerah seluruh kudrat untuk menang perlawanan malam tersebut.
"Lagipun Cools ada melakukan beberapa kesilapan yang mungkin penyokong tak perasan. Tetapi kerana dia ada menjaringkan gol, mungkin sebab itu dia dapat pemain terbaik perlawanan," kata Ikan karuk fans.
Aksi pemain Harimau Malaya masih perlu ditingkatkan. — Facebook/FAM
Pass bola masih ditakuk lama
Di sebalik pujian terhadap corak permainan pantas Harimau Malaya, ada juga yang melihat skuad kendalian Pan-gon itu perlu membaiki beberapa kelemahan.
Perkara itu dinyatakan Wan Rash Najib yang berkata, cara mengawal bola pemain tempatan masih ditakuk lama.
"Sampai sahaja di tengah padang, hantar balik ke belakang. Lepas itu main hantaran tinggi. Banyak hilang bola. Bahagian tengah, Syamer dan Azam Azih tak boleh bawa naik bola.
"Bangladesh bukan pasukan lawan kita yang sebenar. Bagi saya masih jauh perjalanan Harimau Malaya. Apa pun tahniah menang dengan Bangladesh," katanya.
Kesebelasan utama pemain Harimau Malaya yang beraksi ketika bertemu Bangladesh pada Selasa. — Facebook/FAM
Persediaan awal hadapi Piala Asia
Malaysia sudah berjaya melepasi halangan di peringkat kelayakan tetapi perjalanan dalam Piala Asia baru hendak bermula.
Beberapa penyokong mula mengingatkan bahawa persediaan awal perlu dilakukan apatah lagi pasukan selepas ini semuanya mempunyai kekuatan tersendiri.
"Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu kaji lebih mendalam untuk projek Piala Asia 2023. Baiki mana yang tidak kena masa kelayakan," kata Jojo Ji Jojo.
Mohd Asri Abu Bakar pula berkata, skuad yang ada sekarang perlu lebih serasi dan bersama sekerap mungkin.
"Harap FAM cepat bertindak. Kalau boleh buat perlawanan dengan pasukan di kedudukan 100 ke 140 dunia. Baru skuad yang ada lebih matang," katanya.
Tiga desakan yang dimahukan Ultras Malaya. — Facebook/Mohd Salehuddin Abdul Wahab
Hasrat Ultras Malaya tercapai, tinggal satu lagi
Satu faktor yang menjadi pemangkin semangat untuk pasukan Harimau Malaya ialah sokongan tidak berbelah bagi Ultras Malaya (UM) sepanjang perlawanan dalam peringkat kelayakan Piala Asia.
Malah, perkara itu juga diakui oleh Pan-gon yang melihat sokongan UM sebagai antara penguat semangat untuk pemainnya beraksi dengan baik.
Menerusi satu gambar yang dimuat naik, terdapat tiga gambar yang menunjukkan kehendak UM terhadap Harimau Malaya iaitu layak ke Piala Asia secara merit, layak ke Piala Dunia secara merit dan pasukan kelab layak beraksi di Liga Juara-juara Asia (ACL) tanpa playoff.
Dua daripadanya telah direalisasikan. Pasukan Liga M tidak perlu bermain di pusingan kelayakan ke ACL sejak empat tahun lalu menerusi Johor Darul Takzim (JDT) dan edisi kali ini berjaya mara ke pusingan 16 terbaik.
Malaysia juga sudah mengesahkan tiket dan layak beraksi di Piala Asia 2023 secara merit dalam perlawanan pada Rabu.
Hanya tinggal satu lagi desakan yang masih belum tertunai iaitu melayakkan diri ke Piala Dunia secara merit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram