MALAYSIA akhirnya menamatkan penantian 42 tahun apabila layak secara merit ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selepas menundukkan Bangladesh 4-1 dalam aksi kelayakan Kumpulan E.
Harimau Malaya menyaksikan tujuh pertukaran pemain berbanding perlawanan menentang Bahrain dengan tumpuan diberikan kepada posisi penjaga gol apabila Farizal Marlias direhatkan dan digantikan dengan Syihan Hazmi.
Selain itu, Syafiq Ahmad digandingkan bersama Dion Cools dan dijadikan kapten pasukan untuk mengemudi bahagian serangan.
Syafiq hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-7 apabila rembatannya terkena tiang hasil situasi kelam kabut di depan pintu gol Bangladesh.
Peluang kedua Malaysia menjelma apabila Safawi Rasid melakukan aksi akrobatik dan rembatannya sedikit melepasi palang gol.
Detik indah Malaysia bermula apabila memperoleh sepakan penalti pada minit ke-15 apabila Matthew Davies dikasari pemain pertahanan Bangladesh, Atiqur Rahman.
Safawi ternyata tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-16.
Penyerang Johor Darul Takzim (JDT) itu hampir menambah jaringan pada minit ke-20 tetapi tandukan jarak dekatnya berjaya diselamatkan penjaga gol lawan, Anisur Rahman Zico.
Safawi membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti. — FAM
Namun Harimau Bengal menghukum kelekaan pertahanan Malaysia menerusi jaringan pada minit ke-32 menerusi tandukan Mohammad Ibrahim.
Dion Cools akhirnya menamatkan kemarau gol bersama skuad kebangsaan apabila menjaringkan gol peribadi pertamanya pada minit ke-38.
Bersambung babak kedua, anak buah Kim Pan-gon menambah jaringan menerusi Syafiq pada minit ke-47.
Kemudian pada minit ke-73, pemain gantian, Darren Lok menambah gol keempat apabila mudah menolak hantaran lintang Akhyar Rashid yang juga merupakan pemain gantian.
Syafiq diberi kepercayaan menjadi kapten dan menyumbang satu gol.
Malaysia memulakan kempen kelayakan Piala Asia 2023 dengan langkah kanan apabila menumpaskan Turkmenistan 4-1 tetapi kalah 1-2 pada perlawanan kedua menentang Bahrain.
Kekalahan kepada Bahrain pada mulanya menyukarkan misi Malaysia untuk layak ke pusingan akhir kerana Pan-gon meletakkan sasaran minimum tujuh mata bagi merealisasikan impian ke Piala Asia.
Namun atas bantuan Palestin menundukkan Filipina 4-0 dalam aksi Kumpulan B, menghidupkan peluang Malaysia menempah slot sebagai lima pasukan naib juara terbaik untuk mara ke pusingan akhir tahun depan.
Kemenangan tipis 1-0 Bahrain ke atas Turkminestan mencerahkan lagi peluang buat Harimau Malaya kerana hanya perlu seri dalam perlawanan menentang Bangladesh.
Ternyata skuad negara tidak mensia-siakan peluang yang diberikan apabila mudah menundukkan Bangladesh pada Selasa, sekali gus mengakhiri badi untuk mara ke Piala Asia yang kali terakhir disertai pada 1980 di Kuwait, juga secara merit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram