Pan-gon merendah diri, akui pencapaian JDT jadi inspirasi


  • Podium
  • Rabu, 15 Jun 2022

Pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan Bangladesh pada Perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa. — Sinar Harian

KETUA jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon menyifatkan dirinya hanyalah seorang jurulatih ‘kecil’ biarpun berjaya membawa Malaysia menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke saingan Piala Asia 2023 pada Selasa.

Pan-gon berkata, kejayaan bersejarah skuad Harimau Malaya bukan disebabkan oleh dirinya semata-mata tetapi juga sokongan oleh semua pihak yang diberikan kepada beliau untuk membangunkan bola sepak negara.

"Saya hanyalah jurulatih kecil, saya datang ke sini meminta semua pihak membantu dan juga mendapat sokongan khas daripada pasukan-pasukan Liga Super. Dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) saya banyak permintaan, saya tahu ia agak sukar buat mereka tapi beliau (presiden) cuba sedaya upaya untuk memenuhinya.

"Seperti kem latihan, kami banyak menambah baik dari segi infrastruktur, kami dapat yang terbaik. Saya tidak melakukan apa-apa, semua yang terlibat melakukan tugasan mereka dengan baik,” kata jurulatih berusia 53 tahun dari Korea Selatan selepas perlawanan yang menyaksikan Malaysia menewaskan Bangladesh 4-1 sekali gus menempah slot ke Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan E dengan enam mata dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima naib juara terbaik dari enam kumpulan yang mendapat tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Gol kemenangan skuad kebangsaan dijaringkan Muhammad Safawi Rasid, Dion Cools, Muhammad Syafiq Ahmad dan pemain gantian Darren Lok manakala jaringan tunggal skuad Bangladesh diperoleh menerusi Mohammad Ibrahim.

Sementara itu, Pan-gon berkata, beliau menjadikan kejayaan Johor Darul Takzim (JDT) layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-juara AFC buat pertama kali pada April lepas, sebagai inspirasi kepada beliau untuk menyempurnakan tugas membimbing Malaysia ke Piala Asia.

Bekas ketua jurulatih pasukan Hong Kong dan pengarah pasukan kebangsaan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) itu berkata, selain JDT, kelab-kelab tempatan juga memainkan peranan besar dengan melahirkan barisan pemain berkualiti.

"Saya dapat lihat ramai pemain berpotensi yang bagus, ini yang dilakukan oleh bola sepak Malaysia, bukan saya,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kim Pan-gon, 42 tahun, JDT, FAM, Piala Asia, Layak