Legenda Liverpool ‘goyang’ Haaland datang ke Man City


  • Podium
  • Selasa, 14 Jun 2022

Perpindahan Erling Haaland ke Man City bernilai £51 juta (RM275 juta). — Agensi

LEGENDA Liverpool, Jamie Carragher mengakui tertarik serta menyambut baik kehadiran Erling Haaland ke skuad Manchester City (Man City) yang dikendalikan Pep Guardiola musim depan.

Bekas pemain pertahanan Liverpool itu juga seolah-olah gerun apabila percaya Haaland akan memberikan impak besar terhadap corak persembahan dan kekuatan Man City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Jamie-Carragher-Wolves

Jamie Carragher

"Haaland pasti akan bermain di EPL dalam tempoh yang panjang. Biarpun usianya yang masih muda, tetapi saya fikir masih terlalu awal untuk mana-mana pasukan mengangkat bendera putih.

"Ini akan menjadi sesuatu yang menarik untuk melihat corak permainannya di atas padang dan saya fikir kehadirannya sebagai satu perkara hebat apabila terdapat pemain terkemuka dunia bermain untuk EPL," katanya.

Bagaimanapun, Carragher percaya Haaland tidak akan mendapat tempat dalam kesebelasan utama Man City sepanjang masa.

"Man City mempunyai ramai pemain, tetapi tiada yang bermain untuk bahagian tengah. Mereka mengawal bola dan bermain dengan baik, mungkin bahagian itu mereka akan goyah sedikit.

"Sebab itu saya tidak fikir pasukan mereka akan sentiasa menang biarpun memiliki pasukan dan pengurus yang hebat.

"Saya lihat kemasukan Haaland lebih banyak membawa perubahan dalam Liga Juara-Juara berbanding EPL sebenarnya," tambah beliau.

Carragher turut menasihatkan agar pemain berusia 21 tahun itu menimba pengalaman sebanyak mungkin dalam pasukan dan jurulatih berpengaruh dunia berkenaan.

Perpindahan Haaland bernilai £51 juta (RM275 juta) pernah mencatat jaringan 86 gol dalam 89 perlawanan ketika bersama Borussia Dortmund.

Sementara itu, Carragher juga teruja dengan kehadiran Darwin Nunez ke Liverpool yang berjaya mencapai persetujuan dengan Benfica dengan perjanjian bernilai £85 juta (RM458 juta).

Kesediaan Sadio Mane untuk meninggalkan Liverpool juga mengundang rasa sedih peminat The Reds apabila tiada lagi gandingan tiga penyerang iaitu Mane, Mohamad Salah dan Roberto Firmino.

"Jurgen Klopp selalunya membuat keputusan yang betul dan mereka telah berbelanja besar untuk mendapatkan penjaga gol Alisson Becker dan Virgil van Dijk sebelum ini.

"Prestasi barisan depan tiga penyerang itu benar-benar hebat sejak empat atau lima tahun kebelakangan ini," jelas Carragher. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram