Maguire kena perli, sepakan ke kepala Pogba layak dapat Puskas


  • Podium
  • Ahad, 17 Apr 2022

Insiden kaki Maguire terkena kepala Pogba sehingga menyebabkan kepala pemain Perancis itu berdarah ketika bertemu Norwich City pada Sabtu. — Agensi

PERTAHANAN Manchester United, Harry Maguire sekali lagi menjadi mangsa kecaman penyokong selepas melakukan aksi tidak masuk akal ketika bertemu Norwich City dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Sabtu.

Pada pertengahan babak kedua, Alex Telles mengambil sepakan sudut dan ketika Paul Pogba melompat untuk menanduk bola, kaki Maguire terkena kepala pemain Perancis itu. Bola berjaya ditanduk Ronaldo tetapi diselamatkan penjaga gol Norwich, Tim Krul.

Pogba kelihatan berang dengan tindakan Maguire selepas kapten United itu tersepak kepalanya sehingga berdarah dalam kemenangan 3-2 di Old Trafford itu sehingga terpaksa ditenangkan oleh Cristiano Ronaldo.

Sebelum pasukan perubatan masuk ke dalam padang untuk merawat Pogba, Ronaldo dilihat cuba memujuk Pogba yang merenung tajam ke arah Maguire.

"Harry Maguire berjaya menendang Paul Pogba di kepada sehingga berdarah. Sebelum ini mendedahkan rakan sendiri kerana bola terkena tangan, sekarang sepak kepala kawan," tulis salah seorang peminat.

"Maguire layak mendapat anugerah Puskas di atas sepakan kala jengking ke atas Pogba," tulis seorang lagi.

United kini berada di tangga kelima liga, diekori Arsenal di tempat keenam yang kurang satu perlawanan, dan tiga mata di belakang Spurs di tempat keempat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram