ISU masalah padang bola sepak di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur yang diumpamakan ibarat bendang selepas hujan masih menjadi bahan bualan sehingga kini.
Bukan apa, ia sepatutnya menjadi kebanggaan negara namun kini menjadi bahan kutukan. Malah, stadium bertaraf dunia itu juga berpotensi untuk disekat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) daripada menganjurkan sebarang perlawanan di peringkat Asia.
Tular keadaan padang SNBJ yang bertakung dengan air selepas hujan lebat. — Facebook
Begitulah situasi menyedihkan yang dihadapi SNBJ. Terbaharu, terdapat sebuah lagi stadium yang sebelum ini berada dalam senarai yang terbaik mula menjadi tumpuan kerana dilihat berpotensi menjadi seperti SNBJ.
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Terengganu sebelum ini dianggap sebagai stadium kedua terbaik selepas Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
Namun, baru-baru ini ada yang mula risau dengan keadaan padang di SSMZA yang dilihat sudah mula menunjukkan tanda-tanda kerosakan.
Seorang warganet, Piang Shankly berkata, sebelum padang SSMZA menjadi isu besar seperti padang SNBJ, adalah lebih baik jika kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan segera.
Keadaan padang di SSMZA yang dilihat kering dalam perlawanan baru-baru ini. — Facebook/Shahrizal Zainal
"Perbaiki padang SSMZA dengan segera dan jaga sebaiknya. Keadaan sebenar padang tak seindah yang kita tengok dalam televisyen atau dari tempat duduk penonton.
"Kerajaan perlu sediakan bajet yang secukupnya untuk peralatan, bahan dan kepakaran untuk kerja-kerja penyelenggaraan.
"Saya pasti kos nak menjaga lebih murah daripada kos menukar rumput baharu jika padang tidak dijaga dengan baik dan terus dibiarkan rosak," katanya.
Seorang lagi warganet, Muhammad Hafizuddin Harun berkata, rumput hybrid perlu diuruskan orang yang pakar dan buka sekadar lepas tangan ke pihak bawahan dengan arahan tabur baja pasir dan siram air sahaja setiap hari.
Perkara sama turut dinyatakan Mohd Jefri Hashim yang berkata, penjagaan rumput perlukan kaedah dan teknik yang betul dan disebabkan itu juga pasukan Johor Darul Takzim (JDT) melantik individu yang cukup pakar dalam penjagaan rumput.
SSMZA sebelum ini mula selesai dibaik pulih sejak 2021 dan kini mendapat peruntukan sebanyak RM1 juta daripada kerajaan negeri Terengganu untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan di bahagian luar stadium. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram