KETUA jurulatih pasukan Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengingatkan pemainnya supaya tidak memandang rendah dengan kemampuan Bangladesh apabila kedua-dua pasukan itu bertemu pada aksi terakhir kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.
Justeru pengendali kelahiran Korea itu berkata, pasukan Malaysia harus bersedia sepenuhnya dari segi fizikal mahupun mental menjelang aksi tersebut memandangkan beliau menjangkakan Bangladesh memberi saingan sengit selepas mempamerkan aksi baik dalam dua perlawanan sebelum ini.
“Saya rasa Bangladesh merupakan satu pasukan hebat. Kita boleh lihat dalam dua perlawanan ketika menentang Bangladesh dan Turkmenistan sebelum ini
“Mereka merupakan satu pasukan yang 'well organise' pada saingan ini dan mereka berjaya menarik perhatian saya. Cara mereka melakukan 'build up play' daripada bawah ke atas saya rasa harus diberi pujian.
“Jadi saya rasa kita perlu beri perhatian dan tidak memandang rendah dengan kemampuan mereka.
"Bagaimanapun kami akan cuba memberi aksi yang terbaik pada perlawanan akhir ini dan saya yakin kami mampu untuk mencipta keputusan positif pada perlawanan ini,” katanya dalam sidang media praperlawanan menentang Bangladesh, pada Isnin.
Malaysia sekarang berada di kedudukan kedua Kumpulan E dengan mengutip tiga mata selepas mencatatkan satu kemenangan dan kekalahan dalam dua perlawanan sebelum ini.
Skuad Harimau Malaya perlu memenangi aksi tersebut bagi mencerahkan peluang beraksi di Piala Asia 2023 sambil berharap berada di kelompok lima terbaik pasukan kedua terbaik dari enam kumpulan pada pusingan kelayakan ini.
Mengulas mengenai keperluan untuk menang besar ke atas Bangladesh, Pan-gon mengakui ia akan mencerahkan peluang layak ke Piala Asia 2023.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu melihat perkara itu sebagai tekanan buat pasukannya, sebaliknya hanya mahu mencari kemenangan pada aksi terakhir kumpulan E itu.
“Kami memang sedar situasi ini (menang dengan jaringan besar) akan mencerahkan peluang kami untuk berada di kelompok lima terbaik pasukan yang berada di kedudukan kedua.
“Namun bagi saya apa yang penting ialah perlu memenangi perlawanan ini terlebih dahulu dan menang dengan jaringan besar adalah satu bonus,” katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram