KJ terima sumbangan antara RM50,000 hingga RM200,000 — Bekas Pengarah UKSB


Menurut saksi, sumbangan untuk Khairy tidak diberi secara terus, hanya mengikut keperluan, dan tidak diberikan secara bulanan.

BEKAS pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada Isnin bahawa bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin atau KJ, ada menerima sumbangan daripada syarikatnya namun pemberian tersebut tidak diberikan secara terus.

Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, 42, berkata, sumbangan yang diberikan UKSB kepada Khairy antara RM50,000 dan RM200,000 untuk bantuan politik, bencana serta aktiviti kemanusiaan.

Beliau berkata, sumbangan itu tidak diberikan secara terus kepada Khairy, sebaliknya disalurkan melalui Umno Bahagian Rembau kerana ketika itu bekas ketua pemuda Umno berkenaan, adalah timbalan ketua bahagian itu.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-15, Harry Lee Vui Khun bekas pengarah UKSB memberitahu mahkamah bahawa catatan ‘KJ’, dan bomoh antara perkataan yang tertera di dalam buku ‘faraid’ UKSB yang dikemukakan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Buku faraid UKSB yang juga dikenali sebagai Buku 555 di dalam perbicaraan kes Ahmad Zahid, adalah lejar yang mencatatkan bayaran yang dibuat oleh UKSB kepada beberapa individu antara 2014 dan 2018.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin semasa pemeriksaan utama, mengenai cara beliau membantu Khairy, saksi itu menjawab, "Bantuan politik kepada KJ bukan sahaja di peringkat bahagian, ia juga peringkat nasional kerana ketika itu dia adalah ahli politik peringkat nasional.

"Sebagai contoh jika berlaku bencana dan sebagainya saya akan bantu, untuk program bantuan kemanusiaan, kalau ada Pilihan Raya Kecil (PRK) saya akan bantu juga,” katanya yang juga kenalan rapat kepada Khairy.

Saksi pendakwaan ke-16 itu juga berkata beliau memberikan bantuan kewangan kepada Khairy mengikut keadaan (keperluan), dan tidak memberikannya secara bulanan.

"Sumbangan untuk KJ, saya tidak bagi terus, saya urus sendiri. Maksudnya, kalau ada program yang perlukan bantuan saya akan bantu, saya boleh kawal dari segi kegunaan kewangan.

"Sudah pasti untuk KJ dia tiada kaitan dengan hal ini (kontrak Visa Luar Negara, VLN) dan tiada peruntukan besar untuknya. Tetapi, VLN berkait dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) adalah menteri yang bertanggungjawab masa itu, dan beliau juga adalah timbalan presiden Umno, saya fikir tanggungjawabnya lebih besar,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri, bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa.