SEBUAH kapal yang sarat dengan muatan ribuan kambing biri-biri karam pada Ahad di pelabuhan Laut Merah di Suakin, Sudan.
Kebanyakan haiwan di dalam kapal tersebut lemas namun kesemua anak kapal terselamat, kata pegawai.
Kapal yang membawa ternakan tersebut mengeksport haiwan-haiwan itu daripada Sudan ke Arab Saudi apabila ia karam selepas ribuan haiwan dimuatkan di atas kapal tersebut, lebih daripada had muatan yang ditetapkan.
"Kapal Badr 1 itu tenggelam pada Ahad," kata seorang pegawai kanan pelabuhan Sudan.
"Kapal tersebut membawa 15,800 ekor kambing biri-biri yang melebihi had muatan."
Pegawai tersebut mengatakan bahawa kapal itu sepatutnya membawa hanya 9,000 kambing biri-biri.
Seorang lagi pegawai mengatakan bahawa semua anak kapal terselamat.
Insiden itu menimbulkan kebimbangan mengenai kesan ekonomi dan alam sekitar di Sudan.
Omar al-Khalifa, ketua persatuan pengeksport negara Sudan berkata, kapal tersebut mengambil masa beberapa jam untuk tenggelam di jeti. Ini bermakna ia 'boleh diselamatkan'.
Jumlah nilai ternakan yang tidak dapat diselamatkan sekitar 14 juta riyal (RM 16.4 juta), kata Saleh Selim, ketua bahagian ternakan persatuan tesebut.
Beliau juga mengesahkan bahawa kambing biri-biri itu dimuatkan ke atas kapal di pelabuhan Suakin.
Saleh berkata, pemilik ternakan hanya dapat menyelamatkan sekitar 700 ekor kambing biri-biri tetapi haiwan-haiwan itu didapati sangat sakit dan kami tidak menjangkakan haiwan-haiwan itu akan hidup lama.
Saleh juga meminta siasatan dijalankan ke atas kejadian tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram