PENGUNDURAN Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim daripada pengurusan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) masih menjadi buah mulut ramai terutama dalam kalangan penyokong bola sepak negara.
Tidak hanya sedih mendengar khabar tersebut, ada juga segelintir peminat bola sepak tempatan yang mengambil kesempatan menyindir keputusan pemilik skuad Harimau Selatan itu hingga mencetus amarah penyokong JDT.
Kesempatan itu turut dimanfaatkan oleh pemilik akaun Facebook Halimah Ismail, menerusi satu hantaran di grup Liga Super Malaysia 2022 .
Dalam hantaran itu, Halimah menulis sindiran yang dipercayai dituju kepada TMJ yang menyatakan bahawa orang yang tidak meminati bola sepak tidak boleh menjadi pemilik kelab.
"Orang yang tidak minat bola sepak tidak boleh jadi pemilik kelab, ibarat orang tidak minat jadi mekanik motor, di suruh belajar dan dipaksa jadi mekanik motor, memang dia akan belajar tetapi atas dasar paksaan.
"Namun, selepas itu tidak lama, tidak sampai setahun memang dia akan tinggalkan bidang dia sebagai mekanik motor dan terjum ke bidang lain pula.
"Sama seperti situasi yang sedang berlaku di selatan sekarang, kalau yang faham tu fahamlah," tulisnya.
Sindiran tersebut mencetuskan kemarahan penyokong JDT yang menyifatkan hantaran tersebut sebagai satu pandangan yang tidak berasas.
Pemilik akaun Sharil Naga Gayong menjawab sindiran itu dengan mengatakan bahawa tahap pemikiran Halimah seperti murid sekolah rendah.
"Tahap pemikiran macam budak darjah satu," katanya ringkas.
Selain itu, pemilik akaun, FaiZal Teoh pula membidas pandangan Halimah dengan hasil pengurusan TMJ yang dikatakan menguruskan JDT atas dasar paksaan.
"Walaupun paksaan, sembilan kali julang Piala Liga Super dan tidak didenda di mahkamah kerana fitnah RM50,000 serta sekarang sibuk dengan pihak polis kerana fitnah," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram