PENYERANG naturalisasi sensasi kebangsaan, Guilherme de Paula teruja dengan sokongan yang diberikan penyokong ketika perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan pada Rabu dan berharap lebih banyak penyokong hadir pada perlawanan seterusnya menentang Bahrain, lapor portal Harimau Malaya.
Menurut de Paula, suasana dalam stadium pada perlawanan itu sangat menakjubkan dan mana-mana pemain pastinya mahu bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
De Paula tidak mengiraukan komen-komen negatif yang ditujukan oleh sebilangan peminat kepadanya dan fokus untuk memperbaiki permainannya. — Facebook
Beliau berkata, sokongan yang diberikan membuatkannya berasa bangga untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
"Dengan sokongan yang diberikan oleh penyokong kami semua bersemangat untuk beraksi lebih daripada 100 peratus.
"Apa yang boleh saya katakan ialah saya bangga berada di negara ini dan saya bangga mewakili Malaysia,” katanya seperti dilaporkan portal Harimau Malaya.
Pemain Johor Darul Takzim (JDT) berkata, dia tidak mengiraukan komen-komen negatif yang ditujukan oleh sebilangan peminat kepadanya dan fokus untuk memperbaiki permainannya dalam setiap perlawanan.
Pemain veteran berusia 35 tahun berkata, kem negara kini berada dalam mood positif dan berusaha keras untuk merealisasikan impian mereka layak ke Piala Asia 2023 secara merit.
De Paula sekadar menjaringkan dua gol dalam 12 penampilannya bersama Harimau Malaya. — Facebook
Mengenai perlawanan seterusnya menentang Bahrain, dia berasakan bahawa kedua-dua pasukan mempunyai kehebatan tersendiri dan tidak terlalu memandang tinggi kepada keupayaan pihak lawan.
"Saya akui Bahrain adalah satu pasukan yang kuat tetapi kita juga kuat, jadi kita akan turun dan berlawan bermatian-matian untuk lihat siapa yang lebih hebat.
"Kami telah bekerja keras selama beberapa hari ini dan sasaran saya adalah untuk layak ke peringkat seterusnya," tambahnya.
Pada masa sama dia berkata, kemenangan menentang Turkmenistan meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk layak ke Piala Asia 2023 dan para pemain akan berusaha untuk mengekalkan rentak kemenangan pada perlawanan seterusnya.
Malaysia akan bertemu Bahrain pada 11 Jun (Sabtu) dan Bangladesh pada 14 Jun (Selasa). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram