SELEPAS beraksi cemerlang menewaskan pasukan Turkmenistan 3-1 dalam aksi pembuka tirai Kumpulan E kempen kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Rabu, ujian sebenar menanti Harimau Malaya apabila bakal membuat perhitungan dengan pasukan pilihan, Bahrain pada Sabtu.
Pada sidang media selepas perlawanan, ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon tidak dapat menafikan bahawa kemenangan anak-anak buahnya adalah kerana sokongan padu dari peminat bola sepak Malaysia dan Ultras Malaya.
Lebih 21,000 penonton termasuk penyokong tegar Harimau Malaya, Ultras Malaya membanjiri SNBJ untuk memberikan sokongan mereka kepada pasukan negara yang kali terakhir beraksi dalam perlawanan kompetitif di tempat sendiri pada November 2019 sebelum wabak Covid-19 melanda.
Menjengah di ruangan media sosial, majoriti penyokong tegar Harimau Malaya mengemukakan beberapa sebab untuk mengajak lebih ramai rakyat Malaysia termasuk golongan wanita untuk membanjiri SNBJ pada Sabtu sebagai tanda sokongan kepada skuad kebangsaan dalam saingan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023.
Tidak kira bangsa dan jantina, berikut merupakan beberapa faktor yang dicetuskan netizen supaya sudah tiba masanya seluruh rakyat Malaysia perlu turun sendiri menggegarkan stadium yang merupakan 'rumah kita' pada Sabtu ini;
1) Segar dengan kejayaan menewaskan Turkmenistan
Kejayaan menewaskan Turkmenistan yang menduduki ranking ke-134 dunia menyaksikan kerja keras skuad di bawah kendalian Pan-gon itu akhirnya membuahkan hasil kerana berjaya membawa pulang tiga mata penting sepanjang 90 minit permainan.
Pada aksi Rabu, Malaysia mendahului 2-0 menerusi jaringan Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-11 dan Mohamad Faisal Abdul Halim (minit ke-16) dan tonggak pertahanan, Corbin Ong melakar gol ketiga sebelum berakhirnya babak pertama.
"Memang beruntunglah siapa-siapa yang pergi ke stadium.. puas hati dengan corak permainan Harimau Malaya yang betul-betul mengaum teruk.. Persembahan paling terbaik. Kita tengok dapat lihat depan di televisyen pun rasa seronok. Jadi lawan Bahrain kena tengok ini," kata Mohd Zaki Mohd Zaki.
2) Bahrain bukan calang-calang
Pemain Bahrain dikawal ketat pemain Bangladesh pada aksi sulung kelayakan Piala Asia 2023.
Dalam saingan Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023, Bahrain dianggap pasukan terkuat dengan menduduki ranking ke-89 dunia dan perlawanan Sabtu ini juga dianggap sebagai balas dendam selepas pernah tewas 0-2 kepada pasukan itu dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 29 Mei tahun lalu.
Pan-gon turut mengakui pihaknya perlu lebih berhati-hati ketika bertemu skuad Dilmun’s Warriors pada perlawanan kedua itu bagi melaksanakan misi utama iaitu untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata.
"Misi tiga mata penuh bertemu Bahrain dan menewaskan ke semua lawan dan menduduki top carta dalam kumpulan. Harimau Malaya pasti boleh! boleh! boleh!," harapan dari penyokong, Cosmos Redshift.
3) Mengeratkan hubungan silaturrahim
Ada penyokong yang membawa bendera Terengganu sebagai tanda sokongan dari negeri lain. — Facebook FAM
Melihat gambar-gambar daripada perkongsian pengguna media sosial sewaktu perlawanan pada aksi pertama Kumpulan E itu, rakyat dari negeri lain turut sanggup ke SNBJ bagi menyaksikan pertempuran skuad kebangsaan.
Malah ada juga yang mengibaratkan perlawanan pada Rabu itu juga seolah-olah reunion semula seluruh penyokong serata negeri, sekali gus mengeratkan silaturrahim dengan kawan-kawan lama terutamanya dalam kelompok Ultras Malaya.
"Mencari UM (Ultra Malaya) atau penyokong dari Ipoh.. Kereta pakai aku punya..tong-tong minyak dan kawan bual. Tol aku belanja," ujar Sadrul Muaz yang mencari rakan penyokong lain untuk pergi ke SNBJ Sabtu ini bagi memberi sokongan pada Harimau Malaya.
4) Ketampanan barisan pemain Harimau Malaya
Barisan kesebelasan utama Harimau Malaya pada perlawanan menentang Turkmenistan. — Facebook FAM
Bukan hanya menonton pemain lincah beraksi menggelecek bola, tidak keterlaluan mengatakan wajah tampan barisan bintang Harimau Malaya yang semakin digilai ramai juga merupakan antara faktor untuk memikat kehadiran peminat wanita ke SNBJ.
Berdasarkan komen-komen peminat wanita di media sosial, wajah tampan pemain Malaysia seperti Matthew Davies, Darreb Lok, Arif Aiman, Azam Azih, Syafiq Ahmad dan Dion Cools menjadi antara alasan untuk kaum Hawa harus datang menyaksikan perlawanan menentang Bahrain Sabtu ini.
"Kami selalu datang tengok skuad kebangsaan main. Saya dan rakan datang sebab nak tengok Arif Aiman dan Syafiq Ahmad," kata dua penyokong wanita ketika ditemu bual portal Harimau Malaya.
Tangkap layar dua penyokong wanita yang meminati Arif Aiman dan Syafiq Ahmad.
5) Luangkan masa cuti dengan orang tersayang
Antara penyokong wanita yang turun ke SNBJ ketika aksi Malaysia-Turkmenistan pada Rabu. — Foto kredit: Salizah Abdul Majid
Golongan wanita terutama isteri juga boleh menemani suami untuk menonton perlawanan Bahrain yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini bagi meluangkan masa bersama orang tersayang.
Aktiviti itu sekali gus menambah rasa sayang sang suami disebabkan sikap isteri yang memahami minat mereka dalam dunia bola sepak.
Bagi wanita yang masih bujang, mungkin kehadiran anda ke stadium membuka ruang untuk anda bertemu kenalan baharu, apatah lagi bertemu bakal jodoh. Siapa tahu, bukan?
"Siapa geng ladies boleh temankan saya ke stadium lawan Bahrain? Bosanlah datang stadium sorang-sorang masa game lawan Turkmenistan itu hari. Cari kawan bukan cari lawan," tulis Puteri Elisya.
Jadi, bagi penyokong Harimau Malaya yang berhasrat menggegarkan SNBJ pada Sabtu ini, jangan lupa tiket hanya boleh dibeli secara online menerusi www.tickethotline.com.my. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram