'Hancur padang SNBJ bila ada 2 game sehari, patut guna SSI sekali'


  • Podium
  • Rabu, 08 Jun 2022

Skuad Harimau Malaya gigih menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Turkmenistan pada Rabu. — Facebook/FAM

MENJELANG aksi sulung kelayakan Piala Asia pada Rabu, nampaknya dua jurulatih bola sepak sudah mula menyatakan kerisauan mereka terhadap keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.

Ketua jurulatih Bangladesh, Javier Cabrera memaklumkan yang dia kecewa dengan kualiti padang latihan dan juga padang yang bakal mereka beraksi di Bukit Jalil.

Kerisauan sama juga dinyatakan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang berharap keadaan padang kekal baik apatah lagi sebelum itu akan berlangsung perlawanan antara Bahrain dan Bangladesh di stadium sama.

285167140_713503606389545_977509086886141967_n

Pengendali Bangladesh, Javier Cabrera tidak berpuas hati dengan keadaan padang di SNBJ. — Facebook/FAM

Bersetuju dengan pendapat kedua-dua jurulatih ialah penyokong Harimau Malaya, Leron Jannata yang menegaskan situasi sama boleh dilihat ketika skuad negara menentang Hong Kong dan Brunei.

"Menerusi dua perlawanan sebelum ini, kita boleh nampak keadaan padang macam mana. Rumput selalu tercabut dan tak sekata.

"Pemain pun selalu terjatuh. Tak boleh bayang macam mana kalau main dua perlawanan dengan jarak masa selang dua jam sahaja," katanya.

Seorang lagi penyokong Harimau Malaya, Cikgu Khai menganggap aksi skuad negara akan terganggu apatah lagi perlawanan dijadualkan di sebelah malam.

"Standard padang SNBJ pasti akan hancur kalau buat dua game dalam sehari. Malaysia pula akan lawan dalam perlawanan kedua, memang akan dapat padang yang teruk," katanya.

Bukit-Jalil

Dua perlawanan akan diadakan di SNBJ iaitu di sebelah petang dan malam. — Agensi

Amir Fahmi Johari pula berkata, dua perlawanan dalam satu stadium pasti akan memberi kesan patah lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu terutamanya hujan di sebelah petang.

Selain itu, ada juga penyokong yang berpendapat bahawa dua stadium perlu digunakan apatah lagi untuk perlawanan di peringkat antarabangsa.

Roy Rz berkata, sepatutnya perlu guna dua padang berbeza seperti apa yang dilakukan Johor Darul Takzim (JDT) ketika dalam Liga Juara-juara Asia (ACL) sebelum ini (Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos).

"Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih lagi tak mahu belajar macam mana JDT uruskan pertandingan supaya padang berada dalam keadaan terbaik," katanya.

Ini bukan kali pertama isu padang SNBJ menjadi sebutan dan sering kali mendapat teguran daripada penyokong.

Malah, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga telah menaja kos penanaman rumput baharu di SNBJ.

Bagaimanapun, proses penanaman rumput baharu itu akan bermula pada Januari tahun depan dengan kos dianggarkan mencecah sehingga RM1.4 juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram