Pan-gon harap TMJ kekal, rugi besar untuk Harimau Malaya


  • Podium
  • Jumaat, 10 Jun 2022

Pan-gon berkata, TMJ perlu kekal bukan sahaja demi kelab JDT malah untuk kepentingan skuad kebangsaan.

JURULATIH Harimau Malaya, Kim Pan-gon menggesa Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) supaya mempertimbangkan semula keputusan baginda, yang mahu berundur daripada menguruskan skuad Johor Darul Takzim (JDT).

"Saya harap Tunku Ismail mempertimbangkan semula keputusannya. Bagi saya, ini adalah satu kerugian amat besar kepada bola sepak Malaysia, jika Tunku Ismail memutuskan untuk keluar daripada dunia bola sepak.

"Dalam masa kurang sedekad, Tunku Ismail berjaya membawa JDT ke tahap lebih tinggi selari dengan semangat cintakan bola sepaknya yang mendalam. Lantaran itu, bola sepak Malaysia sememangnya perlukan TMJ," kata Pan-gon yang mengakui terkejut dengan keputusan tersebut dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Jumaat.

Malah, sebelum ketibaannya di Kuala Lumpur lagi, Pan-gon sudah tahu dan sedar akan pengaruh besar Tunku Ismail terhadap bola sepak Malaysia.

"Tunku Ismail meletakkan JDT ke tahap yang membolehkan kelab itu layak bermain dalam Liga Juara-Juara Asia.

"Terima kasih kepada sumbangan Tunku Ismail ini yang mana JDT telah mendapat pengiktirafan di seluruh Asia, sekali gus membantu meningkatkan taraf bola sepak kelab di Malaysia.

"Mentaliti kemenangan diterapkan Tunku Ismail adalah penting untuk melaksanakan perubahan dalam bola sepak tempatan," katanya.

Pan-gon berkata, TMJ perlu kekal bukan sahaja demi kelabnya tetapi untuk kepentingan pasukan kebangsaan juga.

Katanya, di bawah kendalian TMJ, JDT telah menyalurkan lebih 15 pemain kepada pasukan kebangsaan manakala lebih ramai pemain baru yang lebih baik sedang dalam persiapan.

"Tunku Ismail sentiasa menyokong pasukan kebangsaan sejak awal lagi dan kami amat menghargai jasanya.

"Malah sebelum kedatangan saya, saya juga sudah mengetahui akan kemudahan dan infrastruktur latihan JDT adalah bertaraf Eropah. Kami menghargai tawaran Tunku Ismail untuk Harimau Malaya berlatih di Johor.

"Dengan infrastruktur yang ada, mereka yang berlatih di sana boleh mendapat manfaat daripada kemudahan terkini. Pada sudut pandangan peribadi saya, ia dilihat sebagai satu lagi sumbangan JDT kepada bola sepak Malaysia," katanya.

Tambah Pan-gon, dengan prestasi disumbang oleh JDT, ia membantu meningkatkan lagi profil bola sepak Malaysia, terutama di sudut pembangunan dan penjenamaan bola sepaknya yang mampu dijadikan contoh kepada kelab bola sepak negeri.

Terdahulu, TMJ membuat kejutan kepada penyokong bola sepak tempatan apabila mengumumkan keputusan untuk mengundurkan diri daripada menguruskan JDT.

TMJ membuat keputusan sedemikian disebabkan faktor tanggungjawab serta komitmen lain yang perlu dilakukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram