KEMENANGAN bergaya 3-1 skuad Harimau Malaya menentang Turkmenistan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023 pada Rabu sebenarnya telah membangkitkan kembali keyakinan penyokong terhadap kemampuan sebenar skuad kebangsaan.
Malah, taktikal high pressing yang dipamerkan pada separuh masa pertama benar-benar membuatkan penyokong terpukau dan merasakan itu adalah permainan yang sepatutnya dipamerkan pasukan negara sejak sekian lama.
Kesebelasan utama skuad Harimau Malaya yang turun bertemu Turkmenistan pada Rabu. — Facebook/FAM
Menentang Bahrain pada Sabtu ini, anak buah Kim Pan-gon perlu mempamerkan aksi mati-matian jika mahu layak ke Piala Asia.
Namun, seorang penyokong Harimau Malaya mendakwa Malaysia sebenarnya sudah mempunyai kelebihan untuk layak ke Piala Asia 2023.
"Kenapa? Sebab keputusan perlawanan seri 0-0 antara Filipina dan Yemen pada Rabu telah menyebabkan pasukan Filipina hilang dua mata berharga.
"Palestin cuma perlu menang ke atas Filipina pada 14 Jun depan dan Malaysia cuma perlu menang melawan Bangladesh jika ditakdirkan kita kalah dengan Bahrain," dakwanya.
Perkiraan mata yang dibuat penyokong Harimau Malaya. — Facebook
Menurutnya lagi, Harimau Malaya pasti layak kerana sudah mengumpul enam mata manakala Filipina cuma empat mata.
Jelasnya, kedudukan lima teratas daripada enam pasukan naib juara (kumpulan A hingga F) akan menjadi milik Harimau Malaya.
Namun, beberapa penyokong yang lain masih berharap supaya skuad Harimau Malaya mampu menewaskan Bahrain untuk menaikkan semangat penyokong apatah lagi beraksi di tempat sendiri.
Malah, ketika bertemu dengan Bahrain, pasukan yang kini berada di kedudukan ke 89 dunia itu, skuad negara juga perlu menampilkan aksi mati-matian untuk meningkatkan keyakinan bagi beraksi di pentas Piala Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram