Keterangan suspek meragukan, motif wanita dibunuh, dibakar dekat Kuala Kangsar belum terungkai


  • 112
  • Khamis, 09 Jun 2022

Mayat dengan kesan luka di kepala itu dipercayai dibunuh dijumpai orang awam dalam keadaan terbakar di tepi sungai Kuala Kangsar.

POLIS masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian wanita yang ditemukan dalam keadaan terbakar dipercayai dibunuh di tepi Sungai Kuala Kangsar dekat Kampung Talang, Kuala Kangsar, Perak minggu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, seramai lima lelaki termasuk teman lelaki mangsa telah ditahan reman setakat ini bagi membantu siasatan.

"Teman lelaki mangsa berusia 20 tahun ditahan Khamis minggu lalu selepas mendapati keterangan yang diberikannya agak meragukan.

"Susulan itu, kita menahan empat lagi lelaki berusia 19 hingga 21 tahun yang merupakan rakan suspek sekitar Kuala Kangsar pada Isnin.

"Polis telah merampas telefon bimbit dan lain-lain untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui pada program penyampaian kerusi roda oleh Pengarah Jamco 4x4 Accessories Outdoor Center Sdn Bhd, Eddy Wong di Pejabat Ketua Polis Perak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Ipoh, Perak pada Khamis.

Menurut Mior Faridalathrash, pihaknya akan membuat permohonan sambung reman terhadap suspek pertama di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar.

"Permohonan lanjut reman dibuat berikutan tempoh tujuh hari akan tamat pada Jumaat manakala reman terhadap empat suspek itu pula telah diperolehi selama tujuh hari sehingga Isnin depan.

"Buat masa ini, tiada tangkapan baharu dilakukan. Kita sedang jalankan siasatan bagi mengetahui motif pembunuhan itu," katanya.

Mayat dengan kesan luka di kepala itu dipercayai dibunuh dalam tempoh 24 jam sebelum dijumpai orang awam dalam keadaan terbakar di tepi sungai berkenaan sekitar pukul 3.05 petang, 31 Mei 2022.

Turut dijumpai di lokasi kejadian, seketul batu konkrit dengan kesan darah dipercayai digunakan sebagai senjata untuk mencederakan mangsa.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, sumbangan 10 kerusi roda yang diberikan Jamco sangat maknanya bagi meringankan beban pegawai dan anggota yang memerlukan.

"Kita amat menghargai sumbangan kerusi roda ini untuk digunakan Cawangan Kebajikan IPK Perak bagi meringankan beban anggota dan pegawai yang sakit atau dalam rawatan," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram