BELUM genap dua bulan syarikat XOX Bhd menjadi pemilik baharu Perak FC, pasukan itu sudah menerima kecaman majoriti peminat bola sepak kesayangan kelab berkenaan.
Ini termasuk pengenalan reka bentuk logo baharu The Bos Gaurus yang menjadi kritikan disebabkan ia seakan-akan menyerupai kelab dari Itali, Inter Milan.
Menjengah ruangan komen di media sosial, seorang pengguna Facebook, Minz Spe berkata, Perak FC sepatutnya memiliki identiti tersendiri dalam menghasilkan logo kelab.
"Budak-budak bola pun boleh lukis kalau logo macam ni. Tak payah budak-budak grafik buat logo.
"Perak FC kan pasukan legenda berumur 100 tahun, mesti memiliki kepakaran dalam dunia bola sepak, dalam negara atau dunia.
Antara tangkap layar komen peminat berhubung reka bentuk logo baharu Perak FC.
"Kami sebagai peminat kelab baru setahun jagung pun tahu yang logo Perak FC ini ada persamaan dengan Inter Milan.
"Semoga XOX betul-betul memang nak membangunkan Perak FC seperti Kelantan FC, jangan jadi bahan lawak satu Malaysia," katanya.
Berdasarkan semakan Majoriti, bentuk tulisan di bahagian tengah logo Perak FC seakan-akan memiliki corak yang sama seperti digunakan oleh Inter Milan pada edisi 1998.
Perak FC ketika ini melalui fasa perubahan selepas bergelut dengan masalah kewangan sejak tahun lalu.
Pada Selasa, pihak pengurusan Perak FC juga tidak menolak kemungkinan mengintai tiga orang pemain import berprofil tinggi untuk dibawa masuk ke dalam skuad The Bos Gaurus.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin dilaporkan berkata, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada peruntukan bajet memandangkan kewangan semasa agak terhad.
Pada masa sama, Bobie Farid, yang juga CEO One XOX Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat XOX, syarikat telekomunikasi itu juga sedang menghasilkan simpack edisi Perak FC untuk penyokong The Bos Gaurus dengan kira-kira 10 peratus hasil pendapatan daripada billing pelanggan akan disalurkan ke kelab bola sepak tersebut.
"Saya beri matematik mudah yang mana kalau kira-kira satu juta penyokong Perak guna sim ini, dengan 10 peratus revenue of RM30, kita boleh jana RM4 hingga RM5 juta sebulan.
"Dalam setahun, kita melihat kepada angka RM60 juta. Maksimum yang JDT sebagai kelab gergasi Liga Super belanjakan dalam setahun pun kira-kira RM12 juta. "Kalau dapat angka tersebut, nak panggil Ryan Giggs (jurulatih kelab bola sepak Wales) ke Perak FC pun boleh...nak panggil Mo Salah (tonggak Liverpool) ke Luis Suarez (penyerang Atletico Madrid) ke, main di sini (Perak)," katanya berseloroh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram