Perak FC intai 3 import kelas berbeza, idam bawa masuk Mo Salah, Luis Suarez


  • Podium
  • Selasa, 07 Jun 2022

Bobie Farid (kiri) dan Abdul Azim (tengah) dalam sesi pertemuan bersama kelab penyokong berdaftar Perak FC pada Selasa.

PERAK FC kini sedang mengintai tiga orang pemain import berprofil tinggi untuk dibawa masuk ke dalam skuad The Bos Gaurus bagi membantu pasukan itu memenangi Piala Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sementara Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin berkata, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada peruntukan bajet memandangkan kewangan semasa agak terhad.

"Kalau nak menang Piala Malaysia, kita perlu empat import yang best tapi kita sedar gaji dan nilai mereka.

"Saya ada tiga senarai pemain import...yang paling bagus (bertaraf) A, pemain kedua bertaraf (import) Johor Darul Takzim (JDT) dan pemain import ketiga itu cukup supaya kita lepas pergi ke atas carta (liga). Mereka ni dalam senarai standby.

"Tapi pemain import ni gaji mereka kira-kira AS$20,000 ke AS$25,000 sebulan untuk setiap seorang...kalau empat orang untuk enam bulan (kena tengok bajet).

"Dalam sebulan, empat orang kita perlukan dalam AS$80,000 hingga AS$100,000. Kalau level bawah sikit, harga mungkin lebih rendah dan ini tidak termasuk kos penginapan dan makan minum mereka lagi.

"Untuk tempoh masa terdekat ini, kita tak jumpa sponsor lagi tapi saya masih cuba dan contact ejen berkaitan," katanya dalam sesi pertemuan bersama kelab penyokong berdaftar pada Selasa.

Sesi yang turut dihadiri Pengerusi XOX Berhad (XOX), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi itu turut disiarkan secara langsung di Facebook Seladang Fan Club.

Sementara itu, Bobie Farid, yang juga CEO One XOX Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat XOX, syarikat telekomunikasi itu sedang menghasilkan simpack edisi Perak FC untuk penyokong The Bos Gaurus dengan kira-kira 10 peratus hasil pendapatan daripada billing pelanggan akan disalurkan ke kelab bola sepak tersebut.

"Saya beri matematik mudah yang mana kalau kira-kira satu juta penyokong Perak guna sim ini, dengan 10 peratus revenue of RM30, kita boleh jana RM4 hingga RM5 juta sebulan.

"Dalam setahun, kita melihat kepada angka RM60 juta. Maksimum yang JDT sebagai kelab gergasi Liga Super belanjakan dalam setahun pun kira-kira RM12 juta.

"Kalau dapat angka tersebut, nak panggil Ryan Giggs (jurulatih kelab bola sepak Wales) ke Perak FC pun boleh...nak panggil Mo Salah (tonggak Liverpool) ke Luis Suarez (penyerang Atletico Madrid) ke, main di sini (Perak)," katanya berseloroh.

Tambahnya, ia bagaimanapun tidak mustahil dan boleh direalisasikan dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada penyokong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram