Kami tak cukup bagus, kekal atau tidak serah pada FAM — Brad Maloney


  • Podium
  • Isnin, 06 Jun 2022

Sebahagian daripada aksi pemain Harimau Muda ketika menentang Thailand. — Facebook/FAM

KEKALAHAN skuad Harimau Muda dengan Thailand, 0-3 pada Ahad diakui Jurulatih Skuad Bola sepak Bawah 23 (B23), Brad Maloney kerana pasukannya tidak cukup bagus.

Menurut Maloney, pada 20 minit pertama perlawanan, anak buahnya beraksi dengan baik sehinggalah Thailand menjaringkan gol pertama pada minit ke-23 menerusi penyerang mereka, Suphanat Mueanta.

"Selepas itu kita terpaksa mengejar pihak lawan sehinggalah ke akhir. Keputusan yang agak mengecewakan.

"Thailand juga mengambil kesempatan selepas menjaringkan gol pertama dan pasukan yang bagus pasti akan buat begitu.

"Tetapi penghujungnya, apa yang boleh saya katakan kami memang tidak cukup bagus untuk perlawanan itu," katanya.

286179359_713045639768675_3514892476615143970_n

Kesebelasan utama Harimau Muda yang beraksi ketika menentang Thailand. -— Facebook/FAM

Menurut Maloney, ada beberapa perubahan dibuat menerusi perlawanan pada Ahad disebabkan ada pemain yang cedera dan penat.

Jelasnya, dia juga belum memikirkan mengenai perlawanan seterusnya tetapi akan terus melakukan pertukaran pemain.

Dalam pada itu, ditanya mengenai jawatannya apatah lagi skuad Harimau Muda akan bermain dalam kelayakan Olimpok 2024, Maloney menyerahkan perkara itu kepada pengurusan.

"Mengenai jawatan saya, itu adalah sesuatu yang perlu dibincangkan dengan pengurusan bila saya pulang nanti," katanya.

Brad-Maloney-FAM-1024x683

Brad Maloney menyerahkan keputusan untuk kekal mengemudi Harimau Muda atau sebaliknya kepada pengurusan. — Facebook/FAM

Skuad B23 kebangsaan terpaksa pulang lebih awal selepas tumpas 0-3 kepada Thailand, pada aksi kedua Kumpulan C Kejohanan Piala Asia B23 2022 di Tashkent, Uzbekistan.

Itu adalah kekalahan kedua berturut-turut dialami anak buah Maloney selepas dibelasah 1-4 oleh juara bertahan, Korea Selatan pada Khamis lepas.

Bagaimanapun, pasukan muda negara berpeluang untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata apabila dijadualkan bertemu Vietnam sebagai pelengkap jadual saingan Kumpulan C Piala Asia B-23 pada Rabu ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram